Mayat dua lelaki dalam but mangsa culik


PASUKAN forensik melakukan siasatan ke atas kereta Proton Waja yang disumbat mayat dua lelaki di Hentian Alor Pongsu dekat Bagan Serai, Perak kelmarin.


IPOH - Dua lelaki yang mati dibunuh sebelum mayat mereka ditinggalkan di dalam but sebuah kereta Proton Waja di Hentian Rehat dan Rawat Alor Pongsu, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala selatan dekat Bagan Serai kelmarin disyaki mangsa culik.

Ting Liong Chin, 28, dan Seu Hong Chee, 19, dilaporkan hilang pada Rabu lalu selepas rakan Hong Chee membuat laporan polis di Pulau Pinang apabila remaja itu gagal dihubungi.

Hong Chee yang bekerja sebagai pemungut hutang di sebuah syarikat membekal alat gantian kenderaan di Pulau Pinang dan Liong Chin dari Sabah disyaki diculik di kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 20 dan 30-an bagi membantu siasatan.

"Tiga lelaki terbabit ditahan di Pulau Pinang semalam (kelmarin) dan pagi tadi (semalam). Polis percaya dua lelaki yang dibunuh itu adalah mangsa culik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, mayat dua lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di dalam but sebuah Proton Waja yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan Hentian Alor Pongsu.

Perkara itu terbongkar apabila seorang pekerja pembersihan terhidu bau busuk berhampiran kereta tersebut yang dalam keadaan berkunci lalu menghubungi polis pada pukul 4.05 petang untuk tindakan lanjut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.