Tragedi ayam masak merah

KEGEMBIRAAN sepasang pengantin baharu di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Yan, Kedah bertukar tragedi apabila empat orang tetamu yang menikmati juadah di hari bahagia mereka maut kerana keracunan makanan pada 28 September lalu.

Lebih membimbangkan si pengantin adalah mengenai 270 tetamu yang lain ditahan di beberapa buah hospital berdekatan kerana masalah yang sama setelah menikmati lauk kenduri yang dihidangkan.

Lauk itu adalah gulai ikan talang, kerabu pucuk paku, sambal ikan bilis bersama kacang dan ayam masak merah yang dimasak secara gotong-royong.

Tetamu yang hadir, Nurshazana Mohd. Rashid, 24, Mohammad Nor Rahmad Yusof, 11, Ibrahim Mohamad, 62, dan Wan Razali Yaakob, 56, menjadi mangsa korban gara-gara hidangan ayam masak merah yang didakwa dicemari bakteria. Mangsa-mangsa lain yang menerima rawatan di hospital itu mengalami cirit-birit dan kekurangan air dalam badan.

Punca masalah itu dikatakan berlaku apabila sebahagian daripada 130 ekor daging ayam yang dibeli sehari sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung telah berbau busuk sebelum dimasak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr. Ismail Abu Taat menjelaskan berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati keracunan tersebut adalah disebabkan oleh virus salmonella yang terdapat dalam masakan ayam.

Perkara itu didedahkan selepas bedah siasat dan sampel yang diambil dari tempat kejadian dilakukan. Pihaknya mendapati bahawa ayam yang telah digoreng itu disimpan pada suhu bilik selama semalaman sebelum dimasak pada hari kenduri.

“Ini menyebabkan ayam tersebut dicemari dan dijangkiti bakteria Salmonella. Ayam itu berbau bila hendak dimasak keesokan harinya, tetapi tuan rumah mahu memasak kerana bimbang makanan untuk tetamu tidak mencukupi,” kata Ismail kepada pemberita baru-baru ini.

Menurutnya, mangsa-mangsa yang makan makanan tercemar tidak mengalami simptom keracunan dengan segera sebaliknya, kesan kehadiran salmonella mula dirasakan selepas lebih 12 jam ia memasuki tubuh.

Dehidrasi

Mangsa pertama, Nurshazana meninggal dunia dua hari selepas dia makan lauk kenduri tersebut manakala mangsa terakhir, Wan Razali maut pada hari Selasa lalu.

“Mangsa-mangsa mengalami cirit-birit, loya, muntah, perut memulas dan kehilangan air dalam badan. Mereka mati akibat kekurangan air yang teruk (dehidrasi) akibat keracunan itu,” ujar Ismail.

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang terdapat di dalam daging, ayam dan telur. Antara faktor-faktor yang menyebabkan risiko serangan bakteria itu termasuklah penyimpanan di bawah suhu bilik dan terlalu lama, pencemaran alatan, makanan masak disimpan bersama makanan mentah serta memasak dengan tidak sempurna.

Selain salmonella, keracunan makanan juga boleh disebabkan oleh rotavirus, adenovirus, E. Coli, shigella dan giardia.

Menurut laman kesihatan patient.co.uk, memasak daging dengan sempurna boleh membunuh bakteria itu. Manusia mudah dijangkitinya salmonella jika memakan daging yang tidak dimasak dan mengandungi bakteria tersebut.

Memakan telur mentah atau susu yang mudah dicemari salmonella juga menyebabkan seseorang itu mendapat risiko dijangkiti salmonella.

Justeru, Ismail menasihati orang ramai agar mendapatkan rawatan dengan segera apabila terdapat simptom-simptom berkaitan selain menyeru orang ramai agar tidak mengambil makanan yang berbau dan menunjukkan tanda-tanda sudah rosak.

“Segeralah berjumpa doktor apabila mengalami gejala keracunan makanan kerana mangsa-mangsa yang maut itu tidak pergi ke hospital dengan segera biarpun telah mengalami cirit-birit dan keracunan makanan,” kata Ismail lagi.

Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Wendy Lim berkongsi maklumat dengan berhubung cara untuk melakukan rawatan awal bagi mengelakkan kesan buruk akibat dehidrasi iaitu dengan menggunakan garam dan air masak.

Bentuk donat

“Garam berperanan dalam mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh. Justeru, rawatan awal boleh dilakukan sendiri dengan mencampurkan garam bersama air sejuk untuk diminum.

“Bagi memberi rasa lebih sedap, tiada masalah untuk menambah sedikit perasa dan gula. Tetapi, adalah lebih baik sekiranya anda bersedia dengan ubat-ubatan seperti larutan garam dehidrasi yang boleh didapati di farmasi selain banyak minum air masak,” kata Wendy.

Wendy menambah, golongan yang paling berisiko maut akibat keracunan makanan adalah kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Sous Chef Eksekutif di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Mohd. Mazlan Abu Bakar menjelaskan bahawa aspek kebersihan dan kesegaran harus diberi perhatian ketika mengadakan kenduri memandangkan ruang untuk menyimpan di tempat yang sesuai adalah terhad.

“Kita faham apabila mengadakan kenduri pasti tidak cukup ruang peti ais untuk menyimpan. Justeru, pihak tuan rumah harus mencari jalan sesuai bagi memastikan hidangan yang dimasak adalah segar.

“Selalunya makanan berkuah akan dimasak pada waktu pagi sebelum kenduri berlangsung pada waktu petang. Makanan itu mampu bertahan selama sehari. Sepatutnya, daging segar perlu dibeli pada pagi tersebut sekiranya tiada ruang (peti ais) untuk menyimpan.

“Tetapi, makanan yang digoreng boleh dimasak lebih awal. Contohnya, memasak lauk ayam masak merah yang melalui dua kali proses memasak iaitu menggoreng ayam dan dimasak bersama sos,” katanya kepada kru Jurnal.

Jelas Mohd. Mazlan, ketika menyimpan lauk yang melalui proses dimasak kali pertama pada suhu bilik, aspek pengudaraan harus diambil kira bagi mengelakkan ia cepat basi yang boleh menyebabkan sakit perut.

“Selalunya daging ayam akan digoreng semalaman di tempat kenduri bagi menjimatkan masa kerana ayam yang sudah digoreng boleh bertahan lama.

“Ketika menyimpannya di dalam besen, pastikan pengudaraannya baik dengan membuat lubang di tengah-tengah longgokan daging ayam itu.

“Selain itu, bekas tersebut juga perlu dilapik dengan objek seperti tungku atau batu untuk memberi pengudaraan yang sempurna dari bawah bekas.

“Tetapi jangan tutup bekas itu sehingga menghalang pengudaraan dari bahagian atas. Untuk mengelakkan dimasuki habuk atau lalat, tutuplah dengan plastik pembalut. Jangan lupa untuk membuat lubang-lubang udara,” katanya yang tidak menggalakkan membeli atau memasak daging yang sudah berbau kerana ia tidak selamat dimakan.