Que Haidar cari bakat anak Felda

QUE HAIDAR masih dengan prinsip yang sama iaitu selektif terhadap naskhah yang akan dibintanginya.


AKTOR Que Haidar anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor, cukup berjaya sebagai aktor yang disegani manakala rakan sekampungnya, Mawi pula berjaya sebagai penyanyi.

Rentetan daripada kejayaan mereka berdua, Ikatan Seni Kebudayaan Anak Felda kini sedang menjelajah Felda di seluruh Malaysia untuk mencari bakat baharu dalam bidang lakonan.

Que yang ditemui pada majlis memperkenalkan pakaian Girza 87 di butik Lord’s Tailor, Bangsar, Kuala Lumpur bertindak sebagai panel uji bakat dalam siri jelajah itu.

“Saya anak Felda, jadi saya tahu apa yang dilalui anak-anak Felda. Bagi saya, program pencarian bakat ini satu perkara yang cukup bagus kerana berdasarkan pengalaman saya bukan mudah untuk bergelar seorang pelakon.

“Dulu, saya datang ke Kuala Lumpur seorang diri demi mengejar cita-cita sebagai pelakon. Banyak kesusahan dan cabaran yang terpaksa dilalui. Sekarang peluang itu ada di depan mata, cukup mudah untuk mereka sebagai anak Felda menunjukkan bakat yang ada,” jelasnya.

Tambahnya lagi, peluang keemasan itu tidak patut dilepaskan kerana jika terpilih, mereka akan terus berlakon dalam filem yang berkisar tentang kehidupan di Felda dan ditaja oleh pihak Felda.

“Memang nampak mudah kerana pihak kami yang cari bakat mereka di Felda tetapi saya tahu kebanyakan remaja Felda mereka takut untuk mencuba kerana bimbang dikutuk rakan walaupun dalam diri minat terhadap seni lakonan cukup tinggi.

QUE HAIDAR menasihatkan anak Felda jangan malu diejek teman sekampung hanya kerana bercita-cita menjadi pelakon.


“Cara saya cukup mudah, jika saya nampak mereka berminat, saya terus tarik mereka hadiri uji bakat. Bagi saya peluang datang sekali. Sayang jika hanya kerana malu dan bimbang dikutuk rakan, mereka melepaskan peluang yang ada. Siapa tahu masa depan mereka cukup cerah selepas itu?” balasnya.

Setakat hari ini, Que telah menjalankan uji bakat di Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang manakala tidak lama lagi di Johor.

“Syarat utamanya, peserta mesti anak Felda. Jika tidak, mereka tidak layak. Sebenarnya saya sendiri terkejut, ramai anak Felda yang mempunyai bakat terpendam.

“Jika tidak ada aral melintang, selepas filem, mungkin pihak Felda ingin menubuhkan Institusi Kesenian Felda,” katanya.

Bercakap tentang perkembangan terbaharunya, Que memberitahu, selain filem Rock 3, dia juga ditawarkan berlakon dalam dua filem lain.

Bagaimanapun, dia masih mempertimbangkan untuk menerima tawaran tersebut ataupun tidak kerana pada usia 34 tahun, Que lebih bersikap selektif.

“Sekarang saya lebih matang, bukan semua filem sesuai dengan saya. Kalau boleh saya tidak mahu filem yang membuatkan saya kelihatan bodoh.

“Drama pula, bukan saya tidak mahu tetapi tempoh penggambaran terlalu panjang terutama drama bersiri. Komitmen saya terhadap keluarga dan kerja lain akan terganggu. Jika bertemu dengan skrip yang sesuai dan kena dengan masanya, saya tidak keberatan untuk terima tawaran tersebut,” jawabnya.