Muzium Memorial 11 September 2001


DINDING usang pada bahagian kiri ini merupakan dinding asas yang asal kepada bangunan Pusat Dagangan Dunia dan item terakhir yang dikeluarkan dari tapak runtuhan.


SABAN tahun, setiap kali ulang tahun tragedi 11 September 2001 diraikan, dunia pasti mengenang bencana tersebut sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban.

Lokasi tragedi di Ground Zero, New York, Amerika Syarikat (AS) itu menjadi saksi kepada keruntuhan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas ia dirempuh dua pesawat penumpang dalam siri serangan pengganas Al-Qaeda.

Kini, selepas 12 tahun bencana itu terjadi, kawasan itu dibangunkan semula sebagai mercu tanda peringatan. Di tengah-tengah tapak Ground Zero itu, terletak Plaza Memorial yang menempatkan dua kolam besar. Setiap kolam mempunyai lowong di tengahnya, menjadi saluran air yang mengalir tenang, setenang suasana di kawasan tersebut.

Setiap kolam dikelilingi dengan ukiran 2,983 nama mangsa yang terkorban dalam bencana dahsyat itu. Kesunyian tempat itu bertambah apabila emosi lebih 10 juta pengunjung bersatu dengan kepiluan mereka yang menangisi pemergian insan yang tersayang.

Itu gambaran yang dapat dilihat di kawasan memorial, jauh berbeza dengan apa yang berlaku di bawah tanah tempat tersebut. Bunyi bising kerja-kerja gerudi dan percikan api daripada kimpalan kian jelas didengari dan dilihat apabila memasuki tapak pembangunan yang terletak di dalam perut Ground Zero.

"Kami menyediakan ruang khas di bawah tanah Plaza Memorial ini. Jadi pengunjung di sini sedang berjalan di atas bumbung sebuah muzium," ujar Pengarah Muzium & Memorial Negara 11 September yang kini berada pada fasa akhir pembangunan.


KOLAM di Plaza Memorial secara amnya merupakan bumbung kepada muzium memorial yang terletak di bawah tanah kawasan Ground Zero.


Memori

Muzium yang dibangunkan di bawah tanah dengan ketinggian tujuh tingkat itu pernah berdepan beberapa kali penundaan. Dana dan banjir akibat taufan Sandy antara cabaran yang dilalui sepanjang projek itu berlangsung.

Namun dua masalah itu agak kecil jika dibandingkan dengan cabaran bagi menghentikan mimpi ngeri tragedi 11 September. Seperti yang diketahui umum, fungsi utama muzium itu adalah bagi mengenang memori yang mahu dilupakan semua rakyat AS.

"Kebanyakan muzium merupakan bangunan yang mengandungi artifak. Muzium ini pula terkandung dalam artifak," tambah Greenwald.

Semua artifak besar daripada tragedi tersebut seperti dua serpihan besi bengkok, impak pelanggaran pesawat yang merempuh menara utara WTC dan tiang besi yang remuk yang menyerupai bebola benang gergasi telah siap diletakkan di dalam muzium tersebut.

"Kami memperoleh momentum yang tinggi bagi menyiapkan muzium ini menjelang hujung tahun ini dan ia sesuatu yang mengagumkan," luah Ketua Pegawai Operasi muzium, Joseph Daniels.

Tahun lalu, kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan kira-kira 12 bulan akibat perselisihan pendapat antara pihak muzium dan pemilik tapak, Port Authority of New York and Jersey. Sejurus pergeseran itu diselesaikan, taufan Sandy pula melanda AS dan membanjiri tapak pembinaan.

Bayaran masuk

Terdapat juga kontroversi lain, misalnya, pada awal tahun ini, lembaga muzium memutuskan untuk meletakkan bayaran masuk muzium itu pada harga AS$20 hingga AS$25 (RM65 hingga RM82). Keputusan itu menimbulkan kemarahan kepada kumpulan yang mahukan kemasukan diberikan secara percuma.

Ironinya, operasi tahunan muzium yang dibina pada kos RM2.3 bilion itu dianggarkan bakal mencecah RM197 juta. Setakat ini, ia berjaya meraih RM1.4 bilion dan menerima RM1.2 bilion daripada pemerintahan pusat.

"Kami membuka sebuah tempat suci, jadi standardnya perlu tinggi dan keselamatannya mesti diutamakan. Untuk itu, kami memerlukan dana yang tinggi," ujar Daniels.

Katanya, keluarga mangsa bencana itu tidak akan dikenakan sebarang bayaran dan diberi potongan bayaran masuk khusus untuk beberapa kumpulan. Daniels turut menambah: "Muzium akan dibuka secara percuma selama beberapa jam untuk setiap minggu."

Ujar Daniels, bayaran masuk akan ditetapkan sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan tiketnya dijual seawal tahun 2014.

Artifak pertama yang akan disaksikan pelawat apabila mereka melintasi astaka kaca di aras bawah muzium itu ialah dua besi trisula yang pernah menjadi sokongan kepada dua menara WTC.

Para pelawat juga berpeluang melihat foto-foto bandar Manhattan beberapa minit sebelum pesawat merempuh WTC. Ketika melalui ruangan peta dunia, mereka akan mendengar rakaman masyarakat di seluruh dunia tentang kejadian tersebut.

SERPIHAN besi dari menara utara Pusat Dagangan Dunia turut dipamerkan di muzium memorial ini.


Dua bahagian

Mereka turut dibawa merentasi dinding usang, konkrit bertulang yang pada asalnya dibina bagi mengekang kemasukan air Sungai Hudson ke dalam WTC dan berjalan pada tangga mangsa terselamat yang dianjurkan dari Plaza WTC ke Vessey Street, yang menjadi laluan keluar kepada ratusan mereka yang terselamat.

Di tengah-tengah Foundation Hall pula, terletaknya kepingan besi terakhir yang dialihkan dari tapak kejadian pada upacara yang berlangsung pada Mei 2002. Ia dipenuhi dengan nota, mesej dan tanda kenangan pekerja yang terselamat dan saksi utama kejadian.

Muzium itu dipecahkan kepada dua bahagian. Zon pertama didedikasikan kepada 2,983 mangsa yang terkorban di tempat kejadian, termasuk enam individu yang dibunuh pada serangan 1993.

Terletak di tapak asal menara selatan WTC, ia akan mempamerkan sebahagian barangan mangsa termasuk rakaman mesej tentang mereka daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Zon kedua pula yang terletak di tapak asal menara utara, dikhaskan untuk penceritaan sejarah kejadian tersebut. Maklumat berkenaan perancang tragedi itu, Osama bin Laden dan ahli kumpulan Al-Qaeda, turut diletakkan di dalam seksyen sejarah, namun jauh daripada kawasan pameran untuk ahli-ahli keluarga mangsa. - AFP