Curi duit tabung masjid RM2 dijel dua tahun, denda RM5,000

08/10/2013 2:47pm

KOTA BHARU - Gara-gara mencuri duit tabung masjid RM2, seorang penganggur dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Mohd. Hadi Hamzah, 36, selepas penganggur itu mengaku bersalah.

Mohd. Hadi didakwa mencuri dua keping wang kertas RM1 di Masjid Muhammadi Jalan Sultanah Zainab, di sini pada pukul 9 malam, 24 September lalu.

Nik Habri menyifatkan perbuatan tertuduh yang tergamak mencuri duit tabung masjid itu sebagai `berhati kering' kerana sanggup melakukan dosa di tempat suci dan melibatkan wang derma masjid. - KOSMO!