ATM buat 'pusingan U'


AKSI kapten ATM, Hairuddin Omar (kiri) ketika menentang Selangor dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 17 September lalu.


AKSI separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan dijangka kembali diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat depan.

Jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata, beliau telah membuat permohonan kepada FAM untuk membatalkan permintaan Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) sebelum ini untuk beraksi di Stadium Shah Alam.

“Kami akan bermain di Selayang untuk separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 18 Oktober ini.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada FAM hari ini (semalam) dengan memberi alasan kukuh (beraksi di Selayang) dan saya harap FAM menerima permintaan kami itu.

“Perkara itu terpaksa dibuat atas permintaan ramai pihak termasuk para pemain ATM sendiri.

“Pemain menyatakan kepada saya bahawa mereka lebih selesa untuk bermain di Selayang berbanding di Shah Alam,” kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, pertemuan antara finalis Piala Malaysia itu mencetuskan polemik apabila FAM bersetuju untuk menukar venue asal dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang ke Stadium Shah Alam.

Ia berikutan permintaan PBAT yang mahu beraksi di Stadium Shah Alam atas faktor keselamatan selain kapasiti tempat duduk penonton.

Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang menjadi gelanggang tuan rumah buat The Gladiators mempunyai kapasiti 16,000 penonton manakala Stadium Shah Alam boleh menampung 80,000 penonton.

“Sememangnya aspek keselamatan paling diutamakan dan perkara itu kami serahkan kepada pihak polis dan kami sudah mengambil tindakan sepatutnya.

“Saya berharap tumpuan para pemain saya tidak terjejas dengan isu ini dan mereka tidak perlu memikirkan isu tersebut.

“Biarlah pihak pengurusan yang menguruskan semua itu, mereka (pemain) hanya perlu tumpu kepada aksi separuh akhir sahaja,” jelas Sathianathan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan telah menerima surat permohonan pertukaran semula venue daripada PBAT semalam.

Namun, Afandi berkata, pihaknya belum memutuskan untuk menerima atau menolak permohonan tersebut.