Enaknya Kaw Kaw Burger Bakar


KAW'D merupakan restoran khusus menjual burger pertama di negara ini.


SESIAPAPUN yang melintas di kedai Kaw Kaw Burger Bakar pasti berasa bagai tergoda dengan aroma patti burger yang sedang dimasak.

Maka tidak hairanlah restoran lot hujung itu sentiasa dipenuhi pelanggan.

Menurut cakap-cakap di laman sosial, patti burger Kaw Kaw Burger lembut dan berjus. Di sebalik semua itu, burger yang dicipta oleh Nini Haznita Muhammad dan Mohd. Faizul Baharudin itu sebenarnya tidak terhasil dengan mudah.


SETAKAT ini mereka menjual patti daging ayam, lembu dan kambing.


Realitinya, mereka sendiri tidak menyangka perniagaan yang diusahakan bersama kurang dua tahun itu kini mampu menjana pendapatan jutaan ringgit.

Selain itu, ibarat kata pepatah ada hikmah di sebalik kejadian 'kena' pada kedua-dua mereka yang gagal menamatkan pengajian peringkat diploma masing-masing.

Kesempatan bertemu dengan Nita dan Zu pada Rabu minggu ini di Kaw'D, Jalan Ampang, Selangor menjadi saksi mereka bercerita kejayaan mereka.

"Saya sebenarnya tidak menamatkan pengajian peringkat Diploma Instrumen Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

"Semasa itu, ayah sudah meninggal dunia manakala ibu sedang sakit. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar untuk menjaga ibu," terang Nita.

Mohd. Faizul pula tidak berminat untuk menyambung pengajian Diploma Elektronik di universiti yang sama.

"Kami kemudian bertemu di sebuah syarikat pusat panggilan di Kuala Lumpur. Oleh kerana sama-sama minat berniaga kami menjual burger secara sambilan di tempat kerja.

"Empat tahun selepas itu inilah hasilnya Kaw Kaw Burger," cerita Nita.

DAGING dan keju dibakar menggunakan alat pemanas khas supaya adunan sebati serta sedap.


Sepuluh tingkat

Nita bercerita, perniagaan mereka bermula pada April 2011 dengan gerai kecil yang dibuka di Kafe Arena, Wangsa Maju, Selangor.

"Syukur sambutan yang diterima agak baik kerana kami yang memperkenalkan kaedah burger dimasak secara bakar.

"Malah, ada pelanggan yang sanggup beratur lebih tiga jam hanya untuk membeli burger kami," katanya.

Tambahnya, perniagaan mereka meningkat maju sehingga kini mempunyai enam cawangan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Mengapa nama 'kaw kaw,' menurut Nita kerana jika dalam budaya negara ini, kaw kaw bermaksud satu benda atau makanan yang baik dan sedap.

"Itu yang cuba saya terjemahkan dalam produk yang kami hasilkan," katanya.

SOS-SOS Kaw Kaw Burger dicipta oleh cef profesional mereka.


Wanita ini juga tidak dapat melupakan pengalaman seorang pelanggan yang menikmati burger sebanyak 10 lapisan daging dalam tempoh masa sejam.

"Berat burger itu lebih kurang tiga kilogram termasuk roti, sayur-sayuran dan keju. Lelaki itu sendiri terkejut dia boleh memakan burger sebanyak itu.

"Pelanggan itu membayar lebih RM100 untuk burger itu tetapi selepas itu dia hanya bersandar di kerusi kerana terlalu kenyang," ujarnya sambil ketawa.

Tutur Nita, setakat ini mereka memproses sendiri daging patti ayam, lembu dan kambing di kilang yang terletak di Gombak, Selangor.

"Tidak lama lagi kami akan memperkenalkan patti ikan salmon," katanya.

Harga Kaw Kaw Burger Bakar bermula RM8.


PATTI daging yang dihasilkan sendiri lebih segar dan sedap berbanding yang dibeli di pasar raya.


Lembut

Menurut seorang pelanggan Eliza Ajis, dia teruja menikmati Kaw Kaw Burger kerana daging patti yang lembut selain limpahan keju yang membuatkan air liur memercik keluar.

"Menikmati burger ini sudah cukup untuk makanan pagi dan tengah hari," katanya.

Pendapat itu turut dipersetujui oleh seorang lagi pelanggan, Somsak yang mengakui daging dimasak sempurna dan tidak hanyir.

"Ada masanya daging burger yang kita nikmati berbau hanyir tetapi mungkin diproses sendiri membuatkan daging Kaw Kaw Burger tidak sedemikian," ujarnya.

Seorang guru, Norhafizah Salehuddin pula menyukai roti burger yang lembut sebaik sahaja dikunyah di dalam mulut.

"Malah, sekiranya dibungkus dan dibiarkan selama berjam-jam ia masih lembut dan tidak keras," katanya.

Mohd. Hairy Mat Usop pula berpendapat keju yang segar menjadi keutamaannya.

"Mereka menawarkan pelbagai jenis keju selain sayur-sayuran yang segar," katanya.