Polis tahan 400 perusuh di Rusia


ORANG RAMAI melihat sebuah kereta yang terbalik selepas tunjuk perasaan di daerah Biryulyovo, Moscow kelmarin.


MOSCOW - Polis menahan hampir 400 orang kelmarin selepas ibu negara Rusia di sini digegarkan kekacauan etnik terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Rusuhan berpunca daripada pembunuhan seorang etnik Rusia oleh imigran Islam dari Caucasus.

Protes di daerah Biryulyovo, kota raya ini bagi membantah pembunuhan Yegor Shcherbakov, 25, bertukar menjadi pertempuran berdarah dengan polis.

Pintu-pintu kaca sebuah pusat beli-belah pecah manakala beberapa buah kereta turut diterbalikkan oleh perusuh.

Penunjuk perasaan melaungkan ungkapan "Rusia untuk orang Rusia " dan beberapa slogan nasionalisme lain semasa bantahan yang disertai lebih 1,000 orang itu berlangsung.

Polis memberitahu kelmarin bahawa 380 orang telah ditangkap berhubung protes itu dengan mereka kini disoal siasat kerana merusuh.

Seramai 14 nasionalis lain ditahan ketika mereka menaiki sebuah kereta api penumpang yang meninggalkan kota metropolitan ini tidak lama kemudian.

"Mereka membawa bersama beberapa balang gas," kata polis dalam satu kenyataan.

Kenyataan sama memberitahu, sebanyak enam anggota polis pencegah rusuhan cedera dengan dua masih dirawat di hospital.

Polis membawa masuk ratusan anggota tambahan bagi menangani krisis itu sekali gus menguat kuasa pelan Vulkan yang digunakan dalam situasi keganasan.

Shcherbakov dibunuh malam Khamis lalu ketika dia dan teman wanitanya keluar dari sebuah kelab biliard di sini. - AFP