Nazri seru rakyat Amerika lawat Malaysia

15/10/2013 9:33pm

NEW YORK - Tiba di New York pada Isnin selepas melawat Los Angeles dan Vancouver, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyeru rakyat Amerika agar melawat Malaysia, sambil menyatakan kedatangan mereka amat dialu-alukan.

Bercakap pada perhimpunan pengusaha dan agen pelancongan, media antarabangsa dan tetamu khas di Hotel Hilton New York, Mohamed Nazri memberitahu bahawa rakyat Amerika diberi kemudahan visa semasa ketibaan untuk 90 hari.

Beliau yang berada di sini untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 berkata, mengikut Pertubuhan Pelancongan Dunia, Malaysia dinamakan dalam senarai 10 destinasi paling dilawati di dunia.

"Kami menerima lebih 22 juta pelancong pada 2012, meningkat 1.5 peratus daripada tahun sebelumnya, dan ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia adalah destinasi yang selamat dan kami mengalu-alukan kedatangan rakyat Amerika,” katanya.

Sepuluh pasaran teratas pelancong ke Malaysia ialah dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Australia, Jepun dan United Kingdom. — Kira-kira 12.6 juta pelancong asing melawat Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama 2013, menunjukkan peningkatan 7.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dan menjana pendapatan RM31.18 bilion, meningkat 16.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

Pendapatan pelancongan yang diperoleh Malaysia berjumlah RM60.6 bilion pada 2012, meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding 2011.

Lebih 240,000 orang dari Amerika Syarikat melawat Malaysia pada 2012, meningkat 10.8 peratus berbanding tahun sebelumnya; dan dalam setengah tahun pertama 2013, Malaysia menerima kedatangan 127,221 orang dari Amerika Syarikat, meningkat sebanyak 6.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Malaysia menyasarkan ketibaan 248,000 pelancong dari Amerika Syarikat sepanjang tahun ini.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 menyasarkan 28 juta pelancong asing, termasuk 250,000 dari Amerika Syarikat, melawat Malaysia tahun depan. - Bernama