Cabaran Dew Xtreme lebih getir


PESERTA perlu melalui beberapa halangan sebelum melangkah ke peringkat akhir yang bakal diadakan pada 14 Disember ini di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.


SUKAN ekstrem semakin mendapat tempat dalam masyarakat pada hari ini.

Menyedari hakikat itu, jenama minuman terkemuka dari Amerika Syarikat, Mountain Dew menganjurkan Cabaran Dew Xtreme 2013 yang berlangsung bermula 12 Oktober hingga 14 Disember nanti.

Memasuki edisi ketiga penganjurannya pada tahun ini, cabaran tersebut menjanjikan debaran adrenalin pada peserta melalui pelbagai aktiviti lasak dan mencabar berbanding siri-siri sebelumnya.

Naib Presiden Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Permanis, R. Hemalatha berkata, pertandingan yang diadakan pada tahun ini menjanjikan cabaran lebih getir kerana peserta akan diuji di daratan, air dan udara.

Katanya, selain perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang tinggi, Cabaran Dew Xtreme 2013 juga perlu melalui beberapa ujian yang disediakan di peringkat saringan sebelum melangkah ke peringkat akhir.

"Kami sentiasa menyediakan cabaran yang sejajar dengan jenama yang menjadi pilihan kepada mereka yang bersemangat dan suka menguji diri dengan sesuatu yang ekstrem," katanya.

Tambah Hemalatha, Cabaran Dew Xtreme 2013 akan berlangsung mengikut negeri di tujuh lokasi terpilih di seluruh negara.

Antaranya, pusat beli-belah Berjaya Time Square, Kuala Lumpur pada 12 hingga 13 Oktober, Berjaya Megamall, Kuantan (19 hingga 20 Oktober), Citi Square, Johor Bahru (26 hingga 27 Oktober), The Curve, Selangor (9 hingga 10 November) dan Alor Star Mall, Kedah (15 hingga 16 November).

Katanya, pemenang di setiap negeri, yang juga terdiri daripada peserta dalam talian, akan berentap antara satu sama lain sebelum memasuki pertandingan akhir yang dijangka diadakan di Berjaya Times Square pada 14 Disember ini.

"Seramai 70 peserta dijangka bertanding di peringkat akhir nanti. Mereka akan diuji dari sudut keberanian, ketangkasan dan kecerdasan akal sehingga tinggal dua peserta terakhir.

"Kedua-dua peserta ini akan berjuang habis-habisan dan berpeluang membawa pulang hadiah bernilai RM250,000 yang ditawarkan," jelasnya sambil memaklumkan pemenang utama akan membawa pulang sebuah trak Chevrolet Colorado 4x4 manakala tempat kedua pula sebuah kereta Chevrolet Sonic.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai cabaran di peringkat negeri boleh mendaftar melalui laman sosial Facebook (fb.com/MountainDewMalaysia) atau mengisi borang yang diedarkan di kolej-kolej dan universiti tempatan di seluruh negara.

Pendaftaran juga boleh dilakukan di salah satu daripada tujuh lokasi pertandingan dengan hanya mendaftar dan mengikuti Dew Challenge yang dianjurkan.