Jodoh Facebook Cristina Suzanne


BUAT masa ini Cristina belum mahu mendedahkan identiti tunangnya ini kepada umum.


PERNAH digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan Bront Palarae sebelum ini, akhirnya pelakon kacukan PERNAH digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan Bront Palarae sebelum ini, akhirnya pelakon kacukan Melayu-Jerman, Cristina Suzanne Stockstill telah mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya pada 13 Oktober lalu.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang agak mengejutkan kerana pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri Bicara Hati itu pernah membuat kenyataan mengenai pertunangannya sebelum ini.

Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Cristina atau lebih mesra dengan panggilan Cris itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila sudah selamat bergelar tunangan orang.

Selain itu, Cris memberitahu bahawa dia tidak mengambil tempoh masa yang lama untuk bertunang dan telah memilih 22 Januari 2014 sebagai hari perkahwinannya nanti.

Kosmo!: Boleh ceritakan tentang majlis pertunangan Cris yang berlangsung baru-baru ini. Siapakah jejaka yang telah berjaya menambat hati anda untuk dijadikan sebagai suami?

Alhamdulillah, majlis yang dilangsungkan di Hotel MS Garden, Kuantan, Pahang berjalan dengan lancar. Meskipun tidak dibuat secara besar-besaran, masih ramai ahli keluarga dan sahabat yang datang memeriahkan majlis.

Mengenai identiti tunang saya itu pula, biarlah saya tidak dedahkannya buat masa ini. Biarlah semuanya akan terjawab semasa berlangsungnya majlis perkahwinan kami nanti.

Bagaimanakah detik perkenalan anda dan tunang berlaku?

Sebenarnya kami sudah lama saling mengenali kerana kakaknya merupakan rakan saya. Pada bulan Ramadan lalu dia tegur saya menerusi laman sosial Facebook dan kemudian saya ajak dia datang ke rumah untuk berbuka puasa bersama keluarga. Selepas itu, dia datang secara bersendirian ke rumah dan kami sempat berbual tentang pelbagai topik. Mulai saat itu saya dapat rasakan seperti ada tarikan tersendiri sehingga boleh terpikat dengannya.

Apakah ciri-ciri menarik yang membuatkan anda jatuh hati dengannya?

Pertama sekali sudah tentu keperibadian yang dimiliknya iaitu sangat menghormati orang tua dan pandai mengambil hati adik-beradik saya yang lain. Lagipun ahli keluarga saya juga memang suka kepadanya.

FIGURA cantik ini sedang gigih belajar memasak dengan ibunya sebagai persiapan sebelum bergelar isteri kelak.


Kalau diikutkan tempoh pertunangan anda cuma empat bulan sahaja. Kenapa mengambil keputusan untuk berkahwin dalam tempoh yang cepat?

Bagi saya perkara yang baik buat apa hendak ditangguh-tangguhkan dan lebih baik ia dilangsungkan secepat yang boleh. Lagipun pada tahun hadapan usia saya sudah menjangkau 29 tahun dan memang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.

Apakah istimewanya tarikh 22 Januari 2014 sebagai hari bersejarah dalam hidup anda?

Sebenarnya tiada sebarang keistimewaan pun tentang tarikh tersebut, sebaliknya ia merupakan tarikh kelahiran saya yang ke-29. Sudah tentu mudah buat saya untuk meraikan hari kelahiran dan ulang tahun perkahwinan serentak.

Adakah anda sudah mula membuat sebarang persediaan untuk acara perkahwinan nanti?

Setakat ini masih belum ada lagi persediaan yang dilakukan, kecuali kini saya sedang belajar memasak dengan ibu. Untuk bergelar seorang isteri sudah tentu ia sangat penting, malah ibu saya memang seorang yang pandai memasak.

Bagaimanakah pula dengan perkembangan aktiviti seni anda sekarang?

Buat masa sekarang saya masih lagi berehat dan tidak terbabit dalam sebarang penggambaran. Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi filem CEO pada Julai lalu dan selepas itu saya banyak meluangkan masa di kampung halaman di Kuantan. Kalau diikutkan memang ada pihak yang menawarkan saya berlakon, tetapi saya beritahu kepada mereka yang kini saya sedang berehat. Bagaimanapun, saya masih menantikan tawaran berlakon dengan karakter yang memenuhi keinginan saya.