Romantis cara Johan, Saleha



KISAH cinta boleh bermula, putus, bersambung dan bermula lagi. Ia boleh melompat daripada satu jiwa ke satu jiwa yang lain sehingga menemui cinta sejati.

Dunia berkasih sayang itu indah namun perjalanannya amat jauh. Selagi belum tiba waktu yang ditentukan untuk cinta dipateri sebagai hakiki, bermain ayat romantis itu hanya mampu dianyam mengikut rasa.

Usia muda dua pelakon, Siti Saleha dan Johan As'ari juga menemukan mereka kepada manisnya cinta. Ketika nama Johan sedang basah dikaitkan dengan penyanyi popular, Shila Amzah, dia mengakui perasaan yang timbul untuk Siti Saleha sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.

"Saya nampak bahawa kejujuran boleh menambat sesebuah hubungan itu menjadi teguh. Kepercayaan sangat penting dalam percintaan dan saya percaya kejujuran itulah yang menambat Siti Saleha untuk jatuh cinta kepada saya," tiba-tiba Johan merungkaikan ritma cintanya bersama Siti Saleha tanpa ragu.

Katanya, perasaan cinta bersama Siti Saleha terluah dalam santun, penuh rasa hormat tanpa perlu berpeluk cium. Begitu jujur pengakuan Johan namun penjelasan itu belum meleraikan teka-teki tentang wanita istimewa yang menduduki hatinya.

Bukannya dalam realiti sebenar, namun kisah cinta antara Johan dan Siti Saleha itu terlukis indah hanya dalam visual sebuah filem bertajuk Balada Pencinta. Digarap sepenuhnya oleh sutradara Khir Rahman, filem itu cinta romantik itu kali pertama mempersembahkan kolaborasi antara Johan sebagai Amir manakala Saleha sebagai Aisyah.

"Saya rasa cara Khir mendefinisikan cinta Amir dan Aisyah itu sangat molek, sesuai dengan cara dan budaya orang kita. Perkenalan mereka yang dimulakan oleh Aisyah yang datang kepada Amir, menegur Amir yang sedang asyik memetik gitar itu sesuatu sangat sederhana tapi bermakna.

KALI pertama berkolaborasi, Siti Saleha dan Johan As'ari bakal muncul dalam sebuah filem romantik aksi, Balada Pencinta, karya dan arahan Khir Rahman yang memulakan tayangan umum pada 24 Oktober ini.


"Khir sangat memudahkan saya untuk memahami tuntutan watak dan jalan cerita. Walaupun Aisyah anak orang kaya sedangkan Amir hanyalah penyanyi jalanan, filem ini bukan macam kisah antara dua darjat. Halangan utama mereka datang daripada tunangan Aisyah. Dialah penggerak konflik filem ini," cerita Johan tentang filem yang bakal masuk panggung bermula 24 Oktober nanti.

Memuji persembahan cinta buah tangan Khir yang disifatkan jarang benar berlaku dalam kebanyakan filem lain, Johan turut menemui definisi cinta yang sebenar-benarnya menerusi filem berkenaan.

"Amir seorang yang sangat jujur. Dia menawan hati Aisyah hanya dengan kejujuran. Saya percaya kejujuran akan menjadikan setiap hubungan itu sukses khususnya bagi pasangan suami isteri. Saya sendiri mempraktikkan kejujuran itu dalam kehidupan saya dengan sesiapa sahaja," katanya sebelum diminta fokus kepada nama Shila Amzah, wanita yang dikatakan paling akrab dengannya ketika ini.

Tambah Johan: "Dengan Shila juga saya cuba berlaku jujur-sejujurnya. Saya praktikkan perkara yang sama. Bagi saya wanita itu mulia. Mereka yang akan melahirkan anak-anak dan saya hormat dengan kejadian wanita. Tentang jodoh saya sama ada dengan Shila atau sesiapa pun, saya akan terima. Saya berkawan dengan semua orang, bila sampai jodohnya, saya akan kahwin. Memang sasarannya saya mahu bertunang bulan Disember nanti, saya tak akan sorok perkara itu kerana cinta itu milik Allah."

Tanpa diminta lebih penjelasan, Johan meluahkan isi hatinya lagi. Katanya, dia bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke Yemen sekitar tahun depan. Jika dipermudahkan Allah, dia mahu mencari calon isteri yang boleh memahami situasi dirinya.

"Saya tidak perlukan isteri yang popular atau ada nama. Syaratnya memilih calon isteri itu ada empat, cantik, agama, harta dan keturunan yang baik. Cukup syarat itu, saya terima," jelasnya yang berkongsi niat menyambung pelajaran itu sebagai satu suntikan semangat untuk terus menimba ilmu.

Saleha kembali menyulam cinta

Beralih kepada Siti Saleha yang tidak pernah terhakis keramahannya dek populariti yang dikecapi, sebagai mana segarnya warna jingga yang membaluti tubuhnya, seceria itu juga bicara yang terlentur daripada bibirnya.

Percutian selama sebulan menjelajah Eropah sambil melawat ibu dan kakaknya di sana juga memberikan emosi gembira buat Saleha.

"Sekarang saya kembali bekerja seperti biasa. Selepas siaran Asmara Luna, ada lagi beberapa tawaran televisyen yang saya terima. Saya perlu beri keseimbangan juga selepas berlakon beberapa filem seperti KL Zombie, Mamat Cup Cake, Tujuh dan Bikin Filem.

DALAM soal cinta, dua pelakon ini mudah berkongsi cerita tetapi untuk serius sehingga memasuki tajuk jodoh, mereka masih terlalu muda dan perjalanan ke arah itu masih tidak pasti untuk diungkapkan.


"Untuk Balada Pencinta, saya sangat berminat dengan penceritaan dan karakter yang ada. Memang dari dulu saya sukakan filem romantik yang ada sentuhan aksi macam filem ini," ujarnya yang tampil bertudung dalam filem berkenaan.

Seperti Johan yang memuji kerja pengarahnya Khir Rahman, kata Siti Saleha:

"Khir membentuk karakter Aisyah dengan sederhana tetapi sangat mengesankan. Saya sendiri dapat rasakan keserasian antara Aisyah dan Amir. Aisyah seorang gadis yang kosong jiwanya tetapi jatuh cinta dengan Amir. Muzik menyatukan perasaan mereka," jelas Siti Saleha tak lekang senyuman.

Diintai lagi isi hatinya, ramai yang sedia maklum, adik kepada vokalis Bunkface, Sam itu pernah dikecewakan cinta. Hari ini, jendela hatinya terkuak lagi.

"Saya sudah menemui seorang lelaki, teman lelaki baharu," getusnya perlahan dan terhenti di situ.

Penyataan ringkas dan padat itu jelas membayangkan bahawa Siti Saleha kini sedang bahagia mengulit cinta yang baharu.

"Dia seorang lelaki berketurunan Inggeris dari Eropah tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Kami baru kenal sahaja selama tiga bulan tapi boleh dikatakan hubungan itu cepat berkembang," ringkas dan mudahnya bunyinya perhubungan Siti Saleha bersama jejaka yang masih dirahsiakan namanya itu.