Kemusnahan gempa bumi Filipina


PULAU Bohol antara kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi dengan magnitud 7.1 skala Ritcher.


KEJADIAN gempa bumi dengan magnitud 7.1 pada skala Richter yang melanda daerah Loon di Pulau Bohol, Filipina pada 15 Oktober lalu mengakibatkan kemusnahan besar. Rumah-rumah penduduk dan jalan raya yang menjadi penghubung antara kawasan bandar dan perkampungan rosak teruk.

Bandar tersebut dihuni kira-kira 40,000 penduduk. Sehingga kini, seramai 151 mayat telah ditemui. Namun, angka tersebut dijangka meningkat memandangkan masih ramai yang hilang dan tidak dapat dikesan.

Bencana alam itu meranapkan sejumlah bangunan termasuk beberapa buah gereja dan jambatan di pulau-pulau tengah Filipina. Kawasan yang terjejas teruk ialah Pulau Bohol yang terletak 630 kilometer dari ibu negeri, Manila.

Dianggarkan hampir 3 juta penduduk menjadi mangsa gempa tersebut. Ia turut menyebabkan berlakunya tanah runtuh di beberapa kawasan. Destinasi pelancongan di Bohol dan Pulau Cebu turut terjejas dan mengalami kerosakan teruk.


JALAN raya yang menjadi penghubung antara kawasan bandar dan kampung turut rosak teruk.


Agensi Bencana Negara Filipina mengeluarkan kenyataan bahawa sekurang-kurangnya 97 mayat dijumpai di Bohol. Sistem komunikasi di kawasan pedalaman terganggu terutamanya di kampung-kampung di kepulauan itu. Agensi berkenaan juga menyatakan, sembilan mayat ditemui di Cebu dan satu di Pulau Siquijor.

"Saya menjangkakan jumlah kematian akan meningkat. Sukar bagi kami untuk mendapatkan jumlah terkini kerana berlakunya gangguan komunikasi di beberapa tempat." ujar Datuk Bandar Loon, Lloyd Lopez kepada sebuah radio tempatan.

Tiga per empat jumlah kematian gempa itu dicatatkan di Loon. Penyumbang besar kematian itu disebabkan oleh runtuhan sebuah sekolah tinggi di bandar Maribojoc yang meragut nyawa puluhan pelajar sekolah perempuan itu.

"Kami tidak pergi ke semua kawasan kampung. Sistem komunikasi terputus dan banyak jalan-jalan musnah," ujar Lopez.

Sebelum berlakunya gempa bumi, ramai yang merasai gegaran terutamanya pesakit-pesakit di hospital di Cebu. Pihak agensi merekodkan sebanyak 840 gegaran dan satu daripadanya dicatatkan pada skala 5.1 magnitud.

"Terdapat banyak gegaran, kami sangat takut ketika itu," ujar Elena Manuel, 64. Kesemua ahli keluarganya pada malam itu tidur di kawasan lapang berdekatan sebuah gereja lama yang turut runtuh akibat gempa bumi.

"Kami tidak mempunyai sumber makanan dan air kerana kedai-kedai berhampiran tutup. Jambatan pula musnah. Selepas gempa berlaku, air dan lumpur keluar dari rekahan di belakang rumah," tambahnya.


GEREJA lama, Holy Trinity di Loay, Bohol hanya tinggal sejarah apabila hampir keseluruhan seni binanya runtuh.


Kesan

Laporan rasmi yang dikeluarkan menyatakan 18 hingga 20 jambatan telah musnah di Bohol, manakala empat jalan di wilayah itu telah ditutup. Sebanyak 17 gereja yang mempunyai nilai sejarah dari segi bina terjejas teruk.

"Kini hanya tinggal debu-debu gereja sahaja," ujar ahli perniagaan dari Jerman yang bermastautin di Bohol, Benjamin Aggenstein, 30. Dia memberitahu, kebanyakan penduduk Loon tidak mahu pulang ke rumah mereka dan lebih rela tinggal di kawasan lapang.

Perkhidmatan feri dan kapal terbang telah kembali beroperasi walaupun berlaku kerosakan di pelabuhan dan lapangan terbang di Bohol dan Cebu. Loceng gereja tertua di Filipina turut musnah akibat gempa itu.

Menurut seorang jurucakap Tentera Udara, pihaknya telah menerbangkan 11 tan makanan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa di Bohol.

Presiden Filipina, Benigno Aquino memberi amaran keras kepada jurujual yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan. Beliau turut melakukan lawatan udara untuk melihat kemusnahan yang berlaku di Bohol dan Cebu. Pihak kerajaan telah mengisytiharkan kawasan bencana di situ, di samping membekukan harga jualan barangan keperluan.

Dalam pada itu, industri pelancongan setempat jatuh merudum kerana banyak pelancong membatalkan tempahan.

"Situasi ini akan kembali normal dalam masa terdekat. Kami sangat bertuah kerana gempa bumi itu tidak mendatangkan kemusnahan lebih teruk," ujar Pengurus Besar Korporat Hotel Bellevue, John Patrick Chan.

Perunding undang-undang di Suruhanjaya Kebangsaan Kebudayaan dan Kesenian, Trixie Angeles memaklumkan, kali terakhir gempa bumi dengan magnitud yang sama melanda Bohol ialah pada tahun 1602. - Agensi