Pelajar KDU hasilkan kolam 1Malaysia terbesar


BENG KEOK (barisan depan, empat dari kanan) menunjukkan sijil MBOR sambil diperhatikan oleh para pelajar yang menyiapkan kolam 1Malaysia terbesar di KDU Kampus Pulau Pinang, di Jalan Anson, Pulau Pinang baru-baru ini.


KOLAM. Kreativiti pelajar Kolej Damansara Utara (KDU) Kampus Pulau Pinang di Jalan Anson, Pulau Pinang yang menghasilkan kolam 1Malaysia terbesar berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Record (MBOR) baru-baru ini.

Kolam gergasi yang berukuran 55 meter x 25 meter itu disiapkan oleh 200 pelajar pelbagai kaum yang menggunakan 2,000 kilogram beras.

Pelajar terlibat mengambil masa hampir lima jam untuk menyiapkan kolam tersebut.

Pengurus Jabatan Perkhidmatan Pelajar KDU Pulau Pinang, Joey Phuah berkata, acara itu diadakan bersempena dengan perayaan Deepavali pada 2 November ini selain mendedahkan para pelajar dengan kebudayaan masyarakat India.

Turut hadir menyaksikan penghasilan kolam 1Malaysia itu ialah Eksekutif MBOR, Huda Zakaria yang kemudian menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kolej KDU Kampus Pulau Pinang, Dr. Chong Beng Keok.