ATM cari ramuan bedil Kelantan


PEMAIN sayap ATM, Christie Jayaselan (kanan) melepasi halangan Indra pada saingan
separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat lalu.


REKOD cemerlang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dijangka memberi kelebihan buat The Red Warriors ketika menanti kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia Jumaat ini.

Sebagai rekod, Kelantan hanya tewas tiga kali sepanjang kempen musim ini ketika beraksi di gelanggang keramat mereka itu.

Kali terakhir skuad kendalian Bojan Hodak itu tumbang di Kota Bharu adalah ketika tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia.

Sebelum itu, Kelantan tewas 0-2 kepada Kitchee SC dalam saingan Piala AFC pada 14 Mei dan kalah 1-3 kepada ATM dalam kempen Liga Super (13 April).

Sedar ranjau berliku bakal menanti anak-anak buahnya melihatkan rekod cemerlang Kelantan di gelanggang sendiri, jurulatih ATM, B. Sathinathan berharap The Gladiators tampil lebih garang bagi membenam The Red Warriors.

"Semua orang tahu bahawa Kelantan cukup kebal apabila beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV.

"Pada masa sama, mereka memiliki ramai berkualiti, antaranya Norfarhan (Muhammad), Indra Putra (Mahayuddin), Badhri (Mohd. Radzi) dan ancaman terbesar kami, Dickson (Nwakaeme).

"Namun, kami tetap akan berjuang untuk mencari dua gol di sana dalam usaha melayakkan diri ke final," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Sathianathan, beliau dalam proses mencari 'resipi' terbaik bagi menyekat Nwakaeme daripada terus berleluasa di kawasan kotak penalti ATM.

"Seperti yang saya cakap sebelum ini, pemain 'besi' itu (Nwakaeme) harus dihalang, tidak kira apa jua cara pun jika ATM mahu melayakkan diri ke final.

"Nwakaeme kerap memberikan masalah kepada benteng pertahanan ATM yang mana dia memiliki fizikal yang kuat sehingga empat pemain pertahanan kami masih belum mampu menjatuhkannya.

"Ketangkasan Nwakaeme juga menyebabkan ruang ATM terdedah apabila pemain seperti Bahdri, Norfarhan dan Indra mudah menyelinap masuk dalam kawasan kotak penalti kami untuk mencari gol.

"Jadi, saya akan cuba mencari jalan untuk menutup setiap ruang yang ada," katanya.