Picanto cetus gelombang baharu



TEMPOH tujuh bulan pertama tahun ini menyaksikan Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Kia Malaysia) mengubah corak aliran industri kenderaan menerusi pengenalan model kenderaan baharu dalam dua segmen berbeza. Kemunculan produk baharu jenama Korea Selatan itu sudah pasti membuatkan para pesaingnya mengelap peluh di dahi masing-masing.

Bermula dengan model Kia Rio untuk segmen B pada awal Januari lalu, Kia Malaysia meneruskan usaha mengukuhkan kedudukan dengan kemunculan Kia Cerato bagi segmen C. Kedua-dua model yang kaya dengan ledakan inovasi berjaya mencipta standard baharu dalam kelas masing-masing.

Selesai sudah dengan segmen B dan C, anak syarikat Kumpulan Naza itu meneruskan momentum sama ke dalam segmen A apabila melancarkan Kia Picanto generasi kedua. Generasi pertama Picanto di Malaysia muncul pada 1997 dengan nama Naza Suria.

Kali ini, perubahan yang dilakukan pada Picanto benar-benar meletakkannya beberapa langkah di hadapan pemain-pemain dalam segmen subkompak Malaysia. Secara amnya, model-model yang mendiami segmen A sudah pastinya Hyundai i10, Suzuki Alto, Mitsubishi Mirage dan Perodua Viva.

“Kami berhasrat meningkatkan volum jualan sebanyak 8 peratus kepada 13,345 unit pada tahun semasa. Model Kia Picanto akan menggalas tugas signifikan untuk mencapai sasaran itu,” demikian menurut Ketua Pegawai Operasi Kia Malaysia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar.

Kia Picanto mula dipertontonkan kepada masyarakat global sewaktu Geneva Motor Show di Switzerland pada 2011. Tahun sama menyaksikan jentera kecil itu meraih penganugerahan antarabangsa iF Product Design dan Red Dot pada tahun 2012.

Sekilas pandang, Picanto nampak seperti versi mini Rio tetapi lebih menawan. Jangan pandang sebelah mata, model kecil ini cukup sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan yang boleh membuatkan ramai terpegun.


SUSUN atur ruang dalaman dan papan pemuka varian manual kelihatan ringkas dan bersih.


Picanto ialah produk pertama dalam segmen A yang didatangkan bersama teknologi Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Bantuan Kawalan Permulaan Bukit (HAC). Tidak cukup dengan itu, Kia Motors Company menempatkan empat set brek cakera dan enam beg udara untuk meningkatkan kualiti keselamatan.

Teknologi lain yang diselit bersama Picanto ialah sistem brek antikunci (ABS), sistem kawalan cengkaman (TCS), sistem bantuan brek (BAS), sistem bantuan parkir kenderaan belakang (RPAS) dan kemudahan ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak. Memang satu pakej keselamatan komprehensif yang membuktikan Kia benar-benar mengambil berat nyawa pemandu serta penumpang.

Bukan itu sahaja, Picanto juga mendahului pesaing segmen berhubung aspek kosmetik. Inilah model subkompak yang dipasang lampu utama jenis projektor dengan solekan DRL LED. Perumah lampu belakang menggunakan lampu LED.

Ketika malam atau di tempat gelap, Picanto akan menyambut ketibaan anda dengan memaparkan suluhan cahaya daripada set lampu utama. Ciri ini didatangkan bersama varian transmisi automatik dan manual.

Bagi pembeli model automatik, anda akan menerima beberapa tambahan ciri yang tidak terdapat pada versi manual. Antaranya ialah lampu kabus, hendal kemasan krom, instrumen meter dengan kluster supervision, cermin solek besar dengan mentol pencahayaan, kebuk simpanan cermin mata, sambungan Bluetooth, stereng dibalut material kulit, sistem kemasukan tanpa kunci, butang Mula/Henti, pemegang cawan bercahaya dan rim aloi berukuran 15 inci.

Pada majlis pelancaran Picanto, penulis bersama pengamal media lain diberi peluang untuk memandu uji kereta terbaharu itu. Varian yang menemui genggaman penulis ialah transmisi automatik. Picanto menggunakan enjin empat silinder Kappa 1.2 MPI CVVT. Sistem transmisi untuk versi manual ialah lima kelajuan manakala automatik hanya didatangkan dengan empat tahap kelajuan.

Destinasi perjalanan sesi pandu uji itu bermula dari Solaris Dutamas sebelum berakhir di Putrajaya. Laluan perjalanan bukan hanya memasuki ibu kota tetapi perlu meredah laluan sekitar Broga dan Nilai, Negeri Sembilan. Perjalanan nampak mudah namun penulis bersama rakan pemandu lain boleh terpisah daripada konvoi berkumpulan gara-gara kesilapan teknikal.

Itu bukan masalah besar kerana Picanto masih menawarkan keupayaan untuk penulis mengejar grup konvoi. Sewaktu berada di kerusi penumpang hadapan, penulis mendapati aspek seni bina Picanto tidak jauh berbeza dengan kualiti binaan jentera kompak dari Eropah.

Aturan butang kawalan dan persembahan papan pemuka agak impresif walaupun ringkas. Agak teliti juga perhatian diberikan oleh jurusolek Kia. Anda juga boleh menjawab panggilan telefon atau meninggikan kadar volum audio dengan hanya menekan butang pada stereng Picanto.


ASPEK keselamatan pemandu dan penumpang ditingkatkan dengan padanan enam beg udara pada bahagian hadapan dan sisi kenderaan.


Memandangkan kaki penulis agak panjang, kerusi Picanto terpaksa ditolak habis ke belakang. Sewaktu menolak kerusi, penulis terjumpa satu kotak simpanan di bawah kerusi. Kotak itu cukup praktikal untuk kaum hawa menyimpan kasut dengan lebih teratur.

Apa yang penulis perasan ialah kereta itu cukup mesra dengan kehendak wanita seperti pelindung matahari dengan cermin solek. Tarik sahaja pelindung matahari itu ke bawah dan ada satu cermin besar berserta enam mentol cahaya akan menyala secara satu per satu untuk memberi pencahayaan ketika ingin mengoles muka.

Apabila meletakkan botol minuman dalam ruang pemegang cawan, secara automatik pencahayaan biru menyala sekali gus membuatkan penulis tersenyum dengan idea kreatif itu. Malah pembaharuan kecil itu turut berjaya mengagumkan rakan media yang lain. Bukan sebab pencahayaan itu tetapi penelitian jurutera-jurutera Kia sewaktu mencipta kereta itu.

Perjalanan lancar membolehkan penulis menikmati keupayaan teknologi keselamatan ketika menyusuri laluan berbukit. Memang banyak bezanya jika dibandingkan dengan produk sekelasnya yang tiada ciri berkenaan. Kawalan stereng juga mudah ketika ingin membuat pusingan U hasil bantuan stereng kuasa bantuan motor (MDPS).

Anda ada pilihan enam warna iaitu putih, hitam, perak, hijau, merah dan biru. Harga rasmi Picanto masih belum diumumkan tetapi maklumat dalaman memberi bayangan harga seunit Picanto versi automatik berada bawah paras RM64,000 manakala versi manual dijangka tidak melebihi paras RM60,000. Sama-sama kita nantikan pengumuman harga terkini daripada Kia Malaysia tidak lama lagi.