Dua pusat pemindahan terakhir di Manjung ditutup

26/10/2013 9:08pm

IPOH - Keadaan banjir di Manjung pulih apabila dua pusat pemindahan terakhir yang menempatkan 59 mangsa ditutup petang tadi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Manjung, Anuwar Ismail berkata seramai 38 mangsa di pusat pemindahan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai dan 21 orang di Dewan Orang Ramai Kampung Tebuk Yan dibenar pulang pada pukul 2.30 petang.

"Cuaca hari ini dilihat semakin baik dan kesemua mangsa membabitkan penduduk Kampung Tebuk Yan dan Kampung Padang Serai dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Zainuddin Mohd. Nordin berkata, keadaan banjir di Kerian semakin surut dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu kekal 17 orang.

"Namun jalan di Km13 dan Km17 dari arah Alor Pongsu ke Bagan Serai berhampiran Kampung Permatang Tengah masih tidak boleh dilalui kenderaan ringan,” katanya.

Fenomena air pasang, peralihan monsun dan hujan lebat menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kawasan di Perak. - Bernama