Perspektif hijrah anak seni


SHAMSUL (kanan) bersama beberapa selebriti dan individu yang melalui fasa penghijrahan muncul dalam 13 episod rancangan Hijrah Munawwarah.


PUJANGGA ada berkata bahawa janganlah kita menilai seseorang itu dengan melihat masa silamnya kerana manusia boleh berubah.

Biarpun pandangan skeptikal masyarakat terhadap penggiat seni masih menebal, ada yang memberi bukti bahawa anak seni juga mampu berubah untuk bergelar orang alim.

Walaupun ada yang bersikap hipokrit dengan penampilan gaya islamik seperti berhijab, lebih ramai yang ikhlas selepas menerima hidayah Allah.

Sekurang-kurangnya penghijrahan mereka daripada kelompok pelakon dan penyanyi itu turut memberi inspirasi kepada masyarakat agar turut sama berubah kepada yang lebih baik.

Sempena sambutan Maal Hijrah tidak lama lagi, Sensasi Bintang mendapatkan reaksi selebriti, Nora dan Shamsul Ghau Ghau untuk berkongsi pengalaman kisah penghijrahan masing-masing.

Bagi penyanyi Nora yang melalui fasa penghijrahan sejak lima tahun lalu, biarpun penampilannya telah berubah, jiwanya tetap serasi dengan dunia nyanyian.

Nora membuktikan bahawa ada cara untuk berhibur mengikut cara lebih baik sementelah turut menerbitkan sebuah rancangan animasi kanak-kanak yang memberi pendidikan mengikut syariat.

Shamsul yang berubah dengan mendekatkan diri kepada Allah secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini mempunyai harapan untuk mempamerkan jiwa seorang anak seni yang mengikut jalan yang betul.

Kedua-dua penggiat seni tersebut juga bakal muncul dalam sebuah rancangan bual bicara baharu berjudul Hijrah Munawwarah yang ditayangkan di saluran TV AlHijrah.

Rancangan 13 episod yang bersiaran bermula Jumaat lalu pada pukul 9 malam itu menampilkan Shamsul sebagai pengacara bersama tetamu jemputan pada setiap minggu untuk berkongsi kisah penghijrahan mereka.

Selain Nora, barisan selebriti seperti Nazrey Johani, Catriona Ross, Adam Corrie Lee dan Ustaz Ebit Lew merupakan antara tetamu jemputan dalam episod berasingan.

Bagaimana pengertian hijrah daripada pandangan anda?

NORA (N): Hijrah adalah suatu perubahan. Pada usia tertentu, sudah pasti kita mahu sesuatu perubahan ke arah yang lebih baik dalam diri kita. Tidak kiralah perubahan yang kecil atau besar, asalkan kita menjadi lebih baik.

SHAMSUL GHAU GHAU (S): Perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah ialah pengertian hijrah yang sebenar. Tetapi untuk kita di zaman ini, hijrah membawa erti yang lebih luas. Berubah daripada yang baik menjadi jahat juga sesuatu penghijrahan. Tetapi pastinya kita mahu berhijrah daripada yang tidak baik menjadi lebih bagus.

Boleh kalian kongsikan tentang titik-tolak penghijrahan masing-masing?

N: Apabila melihat anak-anak di depan mata saya mengucapkan syukur. Tetapi pada ketika itu, saya sekadar mengucapkannya di bibir sahaja. Apabila saya fikirkan semula saya tertanya-tanya adakah itu caranya untuk bersyukur? Bertitik tolak daripada perasaan itu pada lima tahun lalu, saya nekad mahu berubah. Pada usia 35 tahun saya membuat keputusan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.

S: Rumah saya betul-betul di hadapan sebuah masjid selepas berpindah dari Cheras ke Bangi, Selangor. Namun, saya tidak pergi ke masjid itu untuk solat berjemaah sehinggalah saya mencari maksud surah Ar-Rahman yang saban waktu diperdengarkan dari corong pembesar suara masjid. Selepas mengetahui maksudnya tentang kebesaran dan kekuasaan Allah, hati saya mula terdetik untuk mengikut ajaran yang diperintahkannya. Sejak empat tahun lalu, saya sudah mula berubah secara dalaman, cuma kini berjinak-jinak untuk berpakaian mengikut sunnah.

SHAMSUL dan Nora berazam mempamerkan contoh yang baik kepada masyarakat melalui kerjaya mereka.


Bagaimana kalian berdepan dengan cabaran dan penerimaan masyarakat terhadap perubahan diri yang dilakukan?

N: Peringkat permulaan agak tertekan juga sebab banyak pendapat yang saya dengar apatah lagi saya masih terlibat dalam dunia nyanyian. Cuma saya perlu pandai sesuaikan diri dan jangan cuba tegakkan benang basah. Jika saya rasa perjuangan saya betul, saya teruskan. Ketika membuat keputusan itu juga (berhijrah), ada macam-macam 'nasihat' antaranya supaya saya membuat konsert terlebih dahulu, ketika melepasi usia 40 tahun ke atau selepas menunaikan haji ke barulah tutup aurat. Bagi saya, apabila kita sudah mendapat hidayah, janganlah kita berpaling kerana mungkin hidayah itu boleh ditarik balik.

S: Mula-mula berat untuk saya menyatakan hasrat berubah kepada isteri sendiri apatah lagi untuk mengajak dia menutup aurat dan bertudung. Pastinya tawaran lakonan hampir tiada selepas saya menunaikan haji selain ada yang menjauhkan diri.

Bagaimana anda menetapkan batasan bekerja memandangkan khidmat masih diperlukan dalam industri hiburan?

N: Kena ada batas dan had terutamanya buat seorang muslimah. Saya banyak merujuk pada ustaz dan membaca buku-buku agama tentang apa yang boleh dan tidak. Kita boleh menyanyi atau menyampaikan sesuatu yang baik, tetapi kena jaga kelakuan, penampilan, percakapan dan apa yang kita sampaikan.

S: Tiada masalah untuk melakukan sesuatu yang mengikut perintah Allah, tetapi saya elakkan hal yang bercanggah. Saya ada menerima tawaran untuk mengendalikan majlis-majlis keagamaan. Saya masih berlakon, tetapi aktiviti itu semakin kurang kerana turut memberi tumpuan kepada mencari ilmu dan menghabiskan masa bersama anak-anak.

Kebanyakan artis mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada dunia hiburan selepas berhijrah. Bagaimana kalian melihat tanggungjawab yang harus dipikul oleh seorang anak seni yang telah berubah ke arah yang lebih baik?

N: Setiap kita ada tanggungjawab. Saya yang terlibat dalam dunia nyanyian juga tetap ada tanggungjawab kepada masyarakat cuma pendekatannya haruslah di jalan yang lebih baik. Penghasilan program Ummi... Ceritalah Pada Kami juga merupakan salah satu tanggungjawab mendidik kanak-kanak dengan cara Islam. Saya boleh menyanyi dan suami boleh buat lagu untuk dimuatkan dalam rancangan itu. Sebagai seorang selebriti, cara penampilan kita juga boleh mendidik masyarakat.

S: Saya ada bertanya kepada ustaz tentang hasrat untuk berundur daripada dunia hiburan, tetapi dia kata kalau saya berhenti, anak-anak nak makan apa? Apabila difikirkan, saya masih ada tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat. Saya kena mempamerkan lakonan yang boleh memberi kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Apatah lagi, ada beberapa stesen televisyen yang berkonsepkan islamik mula berkembang.