Bina rumah segera


KONSEP rumah Wira Kerjaya mengurangkan sehingga 40 peratus kos pembinaan rumah berbanding kaedah konvensional.


MEMILIKI rumah idaman sememangnya menjadi impian setiap individu, namun faktor harga sering menjadi penghalang.

Namun, bagi individu yang sudah memiliki tanah sendiri, sebuah syarikat bumiputera, Wira Kerjaya Sdn. Bhd. punya jalan alternatif untuk membina rumah dengan cara sofistikated tetapi murah.

Mereka tampil dengan konsep rumah pasang siap yang membolehkan sesiapa sahaja membina rumah sendiri dengan cepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Wira Kerjaya, Mohamad Fadhillah Mahmood berkata, syarikat itu menggunakan keluli ringan untuk membina kediaman.

“Sistem ini agak terkenal di Australia dan Britain sejak tahun 1999 namun di negara kita ia baru berkembang sejak dua tahun lepas.

“Lima orang pekerja sudah cukup untuk menyiapkan rumah dalam tempoh seminggu,” katanya.

Jelasnya, walaupun keluli ringan digunakan, ia tahan lama. Tambahnya, proses membina rumah bermula dengan melukis pelan terlebih dahulu.

“Jika pembeli bersetuju dengan pelan berkenaan, bahagian rangka akan disiapkan di kilang kami di Klang, Selangor.

“Rangka itu akan dibawa menggunakan lori untuk dipasang di tempat yang ditetapkan,” katanya.


RUMAH binaan Wira Kerjaya mesra alam sekitar.


Ujarnya lagi, bahagian dinding dan siling juga menggunakan keluli. Kesemua bahagian rumah itu dipasang menggunakan skru.

“Ia sama seperti memasang almari pasang siap yang dibeli di pasar raya,” ujarnya.

Tutur Fadhillah, kekangan utama dalam pembinaan rumah jenis itu ialah harga tanah yang mahal terutama bandar-bandar besar.

Jimat kos

“Konsep sebegini agak menguntungkan individu yang memiliki tanah sendiri khususnya di kampung kerana dapat menjimatkan kos pembinaan,” ujarnya.

Jelas Fadhillah, konsep itu dapat menjimatkan sehingga 40 peratus kos pembinaan rumah.

“Sebagai contoh, hanya RM60,000 diperlukan untuk rumah teres satu tingkat yang merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Tempoh hayat kediaman ini ialah selama 70 tahun dan tahan karat. Ia juga memudahkan pemasangan elektrik dan bekalan air di rumah,” ujarnya.

Terang Fadhillah, konsep sebegini juga mesra alam dan mengurangkan kos sisa buangan.

“Sistem pencahayaan yang baik juga mengurangkan penggunaan elektrik terutama pada waktu siang selain kipas dan pendingin hawa kerana terdapat lubang-lubang pengudaraan.


RANGKA rumah diangkut ke destinasi menggunakan lori.


“Selain itu, keluli ringan membuatkan ruang dalaman lebih sejuk dan tidak terlalu panas,” katanya.

Jelasnya, mereka kini menumpukan untuk projek taman perumahan.

“Mungkin ini salah satu penyelesaian yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

“Seperti kita sedia maklum kos membeli rumah sekarang agak tinggi dan jarang orang muda mampu memilikinya,” ujarnya.

Tutur Mohamad Fadillah, mereka turut menggunakan bahan binaan yang terdiri daripada komposit serta bahan kimia yang mesra alam untuk membina siling, dinding dan lantai.