Dua ditahan di Kedah selepas larikan kereta di Pulau Pinang

27/10/2013 6:33pm

ALOR SETAR - Polis Kedah menahan dua penjenayah yang mencuri sebuah kenderaan di Simpang Ampat, Pulau Pinang dan melarikannya ke sini

pagi tadi.

Mereka yang berumur sekitar 20-an itu ditahan kira-kira 9.30 pagi

berhampiran Lorong Market Buah, Pekan Cina.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, penjenayah ditahan semasa cuba meloloskan diri dengan kenderaan Toyota Hilux tersebut melalui lorong kecil setelah mengetahui kehadiran mereka dikesan pihak polis.

"Semasa cuba melarikan diri, suspek telah melanggar sebuah lori, sebuah

kereta jenis Proton Wira, lapan buah motosikal dan peti elektrik milik TNB

(Tenaga Nasional Berhad).

"Suspek akan diserahkan kepada polis Butterworth dan segala kertas kerja

siasatan akan dibuat oleh pihak polis di sana berikutan kes awalnya dilaporkan di sana," katanya kepada Bernama. - Bernama