15 minit terakhir detik kejayaan

DOLLAH (tiga dari kanan) bersama barisan pemainnya meraikan kejayaan Pahang mara ke final Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching malam kelmarin.


PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh muncul individu paling gembira selepas skuad kendaliannya mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, Kuching malam kelmarin, Pahang berjaya mengekang Sarawak apabila melakar keputusan seri 1-1, sekali gus mara ke final dengan agregat 4-2.

Dollah mengakui, skuad Tok Gajah agak bernasib baik apabila Sarawak gagal menyempurnakan beberapa peluang yang terhidang sejak wisel permulaan ditiupkan.

“Inilah bola sepak, memang tak dinafikan Sarawak banyak melepaskan peluang dan kita hanya mendapat satu peluang dan kita menjaringkan satu gol.

“Dalam permainan bola sepak inilah dia, kita main macam mana baik sekalipun kalau tidak menjaringkan gol kita kena terima hakikat,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.

Dollah berkata, skuad Bujang Senang bermain dengan begitu baik sehingga memaksa anak-anak buahnya tampil dengan rentak lebih berhati-hati terutama pada babak pertama.

“Saya sudah menasihati pemain bahawa kami datang ke sini (Kuching) bukan untuk bertahan tetapi nampaknya mereka terlampau berhati-hati sehingga tidak sedar telah bertahan. Di situ timbul corak permainan yang hambar.

“Dalam 15 minit terakhir, kami kembali mendapat rentak selepas kemasukan tiga pemain iaitu Mohd. Fauzi Roslan, Mohd. Faizol Hussein dan Mohd. Saiful Nizam Miswan,” katanya.

Dollah turut memuji persembahan yang ditunjukkan Fauzi apabila muncul wira dengan meranapkan impian Sarawak untuk menyertai Kelantan di pentas final yang dijadualkan di Stadium Shah Alam pada 3 November depan.

“Sebenarnya sebelum permainan, dia (Fauzi) ada datang bertemu saya meminta nasihat mengenai prestasinya yang sudah hilang keyakinan untuk bermain.

“Saya masih mempercayainya dan saya tidak ragu-ragu untuk memasukkan dia dan syukur kemasukannya berhasil apabila dia menjaringkan gol,” kata Dollah.

Fauzi atau mesra dipanggil Koji pula tidak menyangka dapat menjaringkan gol menerusi sentuhan pertamanya dalam aksi di hadapan hampir 22,000 penyokong itu.

“Syukur selepas seminit dimasukkan, saya menjaringkan gol melalui sentuhan pertama di tengah padang.

“Ia merupakan gol pertama saya dalam Piala Malaysia dan lebih manis, jaringan itu membantu pasukan layak ke pentas final.

“Ini hadiah untuk seluruh penyokong Pahang,” ujarnya yang masuk menggantikan penyerang import, Matias Conti pada minit ke-72.