Zizan kini usahawan burger


SEBAGAI seorang penggemar burger, Zizan seronok dengan bisnes baharunya membuka restoran Burgerbyte Grill & Soul di Damansara Perdana, Petaling Jaya,


SUDAH lama dia mengimpikan untuk memiliki perniagaan sendiri, namun ekoran daripada keterbatasan waktu menyebabkan dia menangguhkan impian tersebut.

Pada pertengahan tahun ini, impian penerima anugerah Artis Komedi Lelaki Popular, Razizan Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Razak itu akhirnya terlaksana.

Bersama rakan kongsinya, Rostam Affendy Abd. Rahim, mereka mengusahakan perniagaan restoran Burgerbyte Grill&Soul.

“Memandangkan saya sudah lama berhasrat untuk memiliki perniagaan sendiri, tetapi tidak ada masa kerana sibuk dengan tugas, kini semuanya telah menjadi nyata dengan tertubuhnya bisnes burger ini,” jelas Zizan ketika ditemui pada majlis pelancaran Burgerbyte di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.

Bercerita tentang idea untuk membuka bisnes tersebut, Zizan memberitahu, Rostam mempunyai pengalaman mengusahakan restoran iaitu Tam’s Place yang memudahkan mereka bekerjasama menggerakkan bisnes tersebut.

Walaubagaimanapun, kedua-duanya sepakat untuk tampil dengan konsep restoran yang berbeza daripada kebiasaan konsep masakan panas yang diusahakan kebanyakan premis.

Sewaktu sibuk mencari idea, mereka tertarik dengan cerita tentang kehebatan Burgerbyte yang berpangkalan di Sentul, Kuala Lumpur.

ZIZAN menunjukkan bakat menyediakan burger di restorannya.


Mengagumi hidangan Burgerbyte yang ringkas dan lazat termasuk konsep restorannya yang santai dan selesa, Zizan dan Rostam terpanggil untuk turut serta dengan membuka cawangan Burgerbyte atau menjadi francaisi kepada jenama produk Burgerbyte Sdn. Bhd.

“Saya memang seorang penggemar burger. Burger sudah sinonim dengan saya. Kerana itu saya memilih bisnes ini dan pada saya ia senang, mudah serta cepat. Apa yang penting, burger itu sedap”, jelas Zizan.

Beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi, restoran tersebut turut menawarkan 64 jenis menu daripada masakan Barat dan Asia.

Sementara itu, sebelum majlis pelancaran berlangsung, satu majlis tahlil bersama anak yatim telah diadakan bagi mendapat keberkatan.

Turut diadakan pertandingan makan burger bagi mengisi ruang sepanjang majlis berlangsung.

Dalam acara itu, seorang peminat telah berjaya mengalahkan sembilan peserta lain dan membolehkan dia membawa pulang hadiah telefon pintar Samsung Galaxy S3.