Highland Tower bukan klise


SUASANA seram di Highland Tower yang dirakam oleh sekumpulan remaja ini menjadi intipati utama filem Highland Tower.


BUKAN pertama kali, namun sudah banyak kali, tapak runtuhan bangunan Highland Tower pada 11 Disember 1993 yang mengorbankan 43 nyawa dijadi- kan subjek bagi segelintir penggiat seni. Topik yang selalu diangkat, tentulah gambaran klise tentang misteri atau kewujudan hantu di tapak lokasi.

Namun kali ini, Highland Tower dijadikan satu naskhah filem yang lebih bersifat dokumentari.

Diarahkan oleh Pierre Andre, Highland Tower harus diakui mempunyai banyak elemen kejutan dan bukan sebuah filem hantu tipikal yang berlambak di pasaran.

Jeritan atau adegan berlari-lari menyelamatkan diri merupakan unsur asas cerita seram, namun untuk sebuah subjek dokumentari seperti filem ini, hal-hal klise seperti itu dimaafkan.

Ironi, Highland Tower juga tidak dibikin dalam sebuah naskhah yang memerlukan pelakonnya meluahkan perasaan dalaman untuk karakter lakonan masing-masing.

Seolah-olah melakonkan watak diri sendiri, barisan pelakon utamanya iaitu Mikael Andre, Nizam Zaidi, Eddy Rauf, Shima Anuar, Atikah Suhaimi dan Adibah Yunus dalam filem ini, masing-masing dikenali dengan nama yang sama.

Menariknya, biarpun mereka bukan pelakon terkenal atau berada dalam kategori pelakon gred A, namun persembahan lakonan mereka harus diberi pujian.

Sementelah, jalan cerita Highland Tower yang dibikin dalam konsep found footage (sebahagian rakaman filem yang dijumpai atau dalam bentuk rakaman video) itu cukup hidup, biarpun mendapat sedikit suntingan bagi mengekalkan keaslian filem ini, umpama menghidupkan kisah misteri di tapak runtuhan tersebut.

Kisahnya bermula apabila Mikael dan Nizam ingin membuat sebuah dokumentari seram.

Mereka cuba mendapatkan bantuan daripada pihak Metrowealth untuk mengetengahkan idea mereka itu.


MIKAEL ANDRE (depan) turut menyuntik aura tersendiri dalam menguatkan tenaga lakonan untuk filem Highland Tower.


Selepas berbincang, Metrowealth kemudian telah bersetuju dengan idea mereka.

Tanpa berfikir panjang, Mikael telah menghubungi kawan-kawannya iaitu Anuar, Shima, Atikah dan Adibah bagi menjayakan dokumentasi tersebut.

Sepanjang tiga hari merakam semua momen di tapak runtuhan tersebut, pelbagai kejadian aneh berlaku.

Ia adalah satu fakta yang bukan lagi hanya momokan buat tujuh sekawan ini. Semua perkara terakam jelas di dalam penggambaran tersebut.

Aura keseraman dibungkus rapi apabila naskhah berdurasi 85 minit ini membabitkan penggambaran dilakukan 100 peratus pada waktu malam yang gelap dan sunyi, sekali gus menimbulkan aura seram.

Dialog-dialog yang dilontarkan juga bukan muncul atas dasar skrip. Antaranya: "Wei jomlah kita balik. Aku rasa ada yang tak kena."

Ia menjelaskan perasaan Eddy yang mulai berasa seram setelah sampai di pintu masuk menuju bangunan tersebut.

Antara babak yang mendebarkan termasuklah ketika Shima asyik mengambil gambar di sekitar kawasan itu untuk bahan kajiannya dan tanpa disedari lensa kameranya telah merakam objek misteri.

Mereka seronok dan percaya bahawa dokumentari itu akan membuahkan hasil. Atikah terdengar bunyi aneh. Dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Pelbagai kejadian aneh telah menghantui dan menyelubungi mereka.

Pada suatu ketika, lampu semua terpadam secara tiba-tiba. Shima meraung dan menangis ketakutan. Tiba-tiba Shima hilang dilarikan oleh sesuatu. Mereka mula buntu.

Bagi mengetahui dan merungkaikan apa yang terjadi kepada mereka dan ke mana hilangnya Shima, mari saksikan filem seram ini.

Kepada anda yang berani, cabar diri anda dengan membeli tiket untuk menyaksikan kisah mistik dan misteri di panggung wayang berdekatan bermula hari ini (31 Oktober).