Jadilah jiran yang memuliakan tetangga


SIKAP bantu-membantu dapat menyuburkan semangat kejiranan. - Gambar hiasan


BERADA di Madinah merupakan suatu nikmat. Namun, beramal ibadat di dalam Masjid Nabawi yang hanya terdapat di kota bercahaya ini suatu nikmat lain.

Ia tidak datang serentak. Saya sering berpesan kepada jemaah haji atau umrah perkara yang sama. Mereka boleh datang beberapa kali ke Madinah atau Mekah tetapi belum tentu lagi mereka dapat merasai nikmat berada di dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi.

Ia ternyata pengalaman jelas, setelah kami bermukim lebih dua tahun di sini. Jemaah haji dan umrah secara purata berada antara empat atau lima jam di dalam masjid dan selebihnya dihabiskan di hotel, berehat-rehat atau membeli-belah.

Begitulah, setiap kali kami pulang bercuti dan kembali semula ke Madinah, maka Masjid Nabawilah tempat yang kami tuju.

Jarum jam sudah tidak berfungsi. Pagi atau petang, malam atau siang, sejurus meletakkan bagasi, kami akan terus ke masjid untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, insya-Allah.

Itulah tanda kami mengucapkan syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan peluang untuk berada di sini. Nanti, bila kami perlu pulang ke Malaysia, kami berharap tiada rasa kesal dan gelisah kerana tidak merebut peluang yang tersedia.

Ia agak normal untuk merasai kehilangan apabila apa yang ada di genggaman terlepas pergi. Ia kelihatan tidak berharga apabila ia mudah dan senang diperoleh.

Jiran tetangga

Masya-Allah, Subhanallah, Allahuakbar. Minggu ini saya ingin mencatatkan satu elemen yang memberikan kedamaian di hati. Di mana pun kita tinggal, terdapat perkara seiras yang perlu kita tempuhi. Misalnya, jiran tetangga.

Mereka merupakan kehidupan bernyawa yang mempunyai hati dan perasaan. Lalu itulah ujian berjiran yang paling besar. Tersentuh hati, mati. Tersentuh rasa, binasa kerana kebiasaannya, itulah tempat tinggal bersama, menunggu masa dipanggil pulang jika kediaman itu merupakan hak sendiri.

Allah ya Allah, dalam keadaan biasa, jiran tetangga boleh menjadi seperti sanak saudara rapat yang sentiasa dirindui. Ia juga boleh menjadi musuh paling ketat yang sangat dibenci.

Namun, Islam melihat jiran tetangga sebagai isu besar yang perlu difahami. Baginda SAW pernah bersabda melalui satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Maksudnya: "Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah mereka memuliakan jiran tetangganya."

Itulah tahap hubungan yang perlu terjalin. Maksudnya, ia melibatkan hati dan perasaan. Mereka yang memuliakan tetamu, tentu sekali mempunyai hati yang bersih. Lalu lahirlah perasaan damai yang bukan boleh dipaksa-paksa.


JIRAN yang baik sentiasa menjaga hubungan dengan jiran yang lain. - Gambar hiasan


Asas kepada memuliakan jiran tetangga kelihatan sangat mudah. Pertama, kita mahu bertemu mereka semula di syurga Firdaus. Natijahnya, perlumbaan kehidupan di dunia tidak membawa sebarang kebaikan.

Perasaan dengki, cemburu, iri hati atau berdendam bukanlah suatu sifat yang memuliakan jiran tetangga. Apa yang mereka miliki merupakan anugerah Allah SWT. Usah berduka atas sebab tersebut. Ia tidak membawa kita ke mana-mana.

Jika kita pula mempunyai pelbagai kelebihan sama ada harta atau ilmu, maka ia juga merupakan milik Allah SWT. Bersifat merendah diri dan saling bantu-membantu tidak akan merugikan. Agak saya begitu.

Kedua, kita boleh memuliakan jiran tetangga dalam diam. Saya sering menganjurkan agar mereka yang hampir termasuk jiran tetangga dimasukkan dalam senarai doa yang dipanjatkan kepada-Nya.

Jika jiran tetangga bukan kaki masjid, maka tidak usahlah membawa cerita kepada kaum keluarga yang datang bertandang ke rumah.

Tidak perlulah berasa gembira dengan menghebohkan kekurangan mereka. Kemuliaan kita yang suka ke masjid tentunya menjadi lebih hebat dengan mendoakan mereka pada sepertiga malam tersisa agar sama-sama menunaikan solat jemaah di rumah-Nya.

Berhati mulia

Itulah konsep memuliakan jiran tetangga yang paling mudah untuk diamalkan. Kami juga mempunyai jiran tetangga. Jiran paling hampir adalah sebelah pintu berbangsa Arab. Mereka masih muda berumur sekitar 30-an dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun.

Jauh, sebelum berhijrah saya mendengar khabar betapa orang-orang Arab sangat sukar bercampur dengan orang luar. Mereka dikatakan mempunyai persepsi tertentu yang menghalang untuk menjalin hubungan.

Entah, saya sendiri tidak dapat memahaminya. Namun, dengan maklumat yang terbatas inilah saya memohon kepada-Nya agar hati kami sekeluarga tenang apabila sampai di Madinah.

Malah, kami memohon secara spesifik agar ditemukan dengan jiran tetangga yang bersifat mulia. Ia doa yang tidak henti-henti.

Alhamdulillah. Itulah yang dimakbulkan Allah SWT. Mereka sangat baik hati. Acapkali mereka menghantar makanan ke rumah apabila melihat kami terlalu kerap menerima tetamu. Mereka tahu saya meraikan jemaah haji.

Malah, setiap kali mahu pulang ke kampung halaman, seisi peti sejuk mereka diserahkan kepada kami sekeluarga. Hubungan kami ibarat keluarga yang hampir.

Benar, jiran tetangga yang mulia akan mendamaikan hati. Namun, janganlah menunggu mereka menjadi jiran yang baik. Biar ia bermula dari kita. Insya-Allah, nanti kita berkumpul semula di Firdaus.

Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.