Tangani 'kebosanan' subjek Sejarah


PELBAGAI informasi, dokumen asal dan gambar mengenai pentadbiran negara boleh didapati di Arkib Negara.


DALAM minda Ameerah Mansor, subjek Sejarah amat membosankan berbanding mata pelajaran lain yang wajib diambil oleh setiap pelajar. Apabila ditanya mengapa, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab (1), Kelantan itu pantas menjawab: "Banyak sangat fakta perlu diingat dan ia amat susah."

Anak ketiga daripada lima adik-beradik itu juga mempunyai pandangan berbeza apabila subjek sejarah tidak lebih daripada sekadar memenuhi keperluan untuk lulus peperiksaan.

Maka, dihafalnya satu persatu fakta sejarah dan langkah itu membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapat gred A bagi mata pelajaran berkenaan pada Penilaian Menengah Rendah tahun lepas.

Apabila ditebak dengan beberapa soalan berkaitan sejarah yang pernah dipelajarinya sebelum ini: "Maaf, saya sudah lupa," katanya kepada Bernama.

Kisah Ameerah merupakan satu daripada rentetan cerita yang sama apabila menyentuh mengenai mata pelajaran berkenaan. Ia sering dianggap sebagai subjek yang tidak menarik dan boleh mengundang rasa mengantuk.

Malahan, senario pelajar mendapat keputusan cemerlang tetapi 'lupa' apabila ditanya kembali bukanlah satu polemik baharu berikutan ia juga dibangkitkan oleh sejarahwan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Hakikat ini amat mengejutkan tetapi apa yang paling menyedihkan apabila terdapat segelintir pelajar mempersoalkan akan kewajaran mempelajari mata pelajaran itu.

Mereka mengakui sekiranya ia mata pelajaran elektif, mahu sahaja memilih untuk tidak mempelajarinya.

Kerajaan menyedari akan senario ini dan telah menjurus untuk mengkaji dan merangka kurikulum mata pelajaran Sejarah baharu dalam silibus sekolah menengah supaya tidak lagi dianggap sebagai mata pelajaran membosankan. Ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Sejarah wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun ini.

Perlu kreatif

Dalam mengetengahkan perihal ini, sudah semestinya peranan para guru sebagai tonggak utama tidak terkecuali yang mana memerlukan mereka lebih kreatif dalam proses pengajaran mata pelajaran berkenaan.


RAKYAT Malaysia perlu menghayati dan mengenang sejarah untuk dijadikan pengajaran dalam kehidupan masing-masing.


Pelajar sudah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada buku teks dan mengehadkan pelajaran di bilik darjah semata-mata.

"Murid-murid berkata, bahawa mata pelajaran Sejarah adalah paling dibenci kerana mereka perlu menghafal. Kalau hendak menghafal, macam mana dengan saya yang sudah tua ini menghafal sejarah," kata Kay Kim yang dipetik dalam satu laporan berita.

Beliau juga mengutarakan kebimbangan apabila melihat bilangan pelajar mengambil mata pelajaran Sejarah semakin merosot seperti di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Sebelum ini, ia menerima 1,300 pelajar setahun dan kini semakin menurun jumlahnya.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan turut berpandangan sama apabila dipetik berkata, medium praktikal dapat meningkatkan penghayatan sejarah dalam kalangan pelajar.

Justeru, dilihat ada keperluan untuk menjadikan muzium, tempat penyimpanan artifak berharga negara sebagai antara pelengkap pembelajaran mata pelajaran berkenaan.

Arkib Negara

Namun, ramai yang lupa akan kewujudan Arkib Negara Malaysia sebagai satu daripada tarikan untuk menambat hati pelajar.

"Guru sejarah boleh memainkan peranan menerusi penyebaran fungsi Arkib Negara Malaysia," kata Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pengembangan Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz.

Azemi tidak menafikan kehadiran ramai guru dan pelajar membuat rujukan di situ, namun ia masih belum menjadi 'budaya' dalam kalangan mereka.

Persoalan 'mengapa', mungkin bertitik-tolak daripada kurangnya pemahaman mereka mengenai penawaran yang disediakan oleh gedung khazanah ilmu ini.

Ketidakfahaman mengenai fungsi arkib juga menyebabkan ada antara mereka menganggapnya sebagai pusat untuk memperoleh dan memelihara rekod-rekod bernilai negara.

Walhal, ia juga adalah platform bagi sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan kepelbagaian akses maklumat ataupun rujukan kepada rekod-rekod dan bahan arkib bernilai sejarah seperti peristiwa penting negara.

Bertitik-tolak daripada kurangnya kefahaman itu, Arkib Negara Malaysia telah menggerakkan usaha mendekati bakal guru menerusi program lestari ilmu Arkib Bersama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Diadakan sejak tahun lepas, program lestari ilmu ini amat signifikan dalam memperkenalkan kepada bakal guru dan pelajar institusi pengajian tinggi akan perkhidmatan dan koleksi bahan yang terdapat di sana.