Minat kolaborasi dengan Nora Danish

SELAIN Malaysia, Hari turut berkunjung ke Indonesia untuk bertemu peminatnya.


SEBAIK tiba di lokasi majlis bertemu dengan penyanyi popular kelahiran Korea Selatan, Sung Kyung Jeong atau Hari pada Isnin lalu, sudah ramai yang tiba menantikan ketibaannya.

Masakan tidak, kehadiran penyanyi berkenaan sememangnya begitu dinantikan ramai memandangkan buat julung-julung kalinya gadis berusia 23 tahun itu menjejakkan kaki ke Malaysia.

Acara yang dijadualkan sepatutnya bermula pada pukul 6 petang. Bagaimanapun Hari hanya tiba di lokasi setengah jam kemudian. Bagaimanapun, dia lantas dikerumuni pihak media yang mahu membuat temu bual dengannya.

"Tujuan utama saya datang ke Malaysia semata-mata ingin bertemu dengan peminat di sini. Apa yang saya tahu, Gwiyomi begitu popular di negara ini dan mendapat sambutan yang luar biasa.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk menemui peminat di sini sebagai menghargai sokongan yang telah diberikan. Sudah tentu saya berasa sangat teruja untuk bertemu dengan mereka buat kali pertama," ujar penyanyi yang lahir pada 6 Februari 1990 itu.

Sudah mula bergelar penyanyi sejak tahun 2010 dengan kemunculan single sulungnya berjudul Fan Cake, Hari memberitahu, dia sendiri tidak menyangka Gwiyomi akan menjadi satu fenomena.

Menurutnya, menerusi fenomena berkenaan jumlah peminatnya sekarang naik dengan begitu mendadak, lantas ia telah memberi impak terhadap kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

"Pastinya apa yang saya lalui ini memang di luar jangkaan sama sekali, apatah lagi Gwiyomi telah menjadikan diri saya popular di seluruh dunia. Selain itu, populariti yang diraih ini merupakan hasil sokongan yang diberikan peminat," ungkapnya.

Ujarnya, apa yang lebih membuatkan dirinya gembira dan bangga apabila gaya Gwiyomi bukan sahaja ditiru oleh peminat, malah ia menjadi ikutan beberapa selebriti terkenal yang turut memuat naik ke laman sosial gaya mereka.

"Dalam banyak gaya Gwiyomi yang saya tonton di internet, saya cukup tertarik dengan gaya yang ditampilkan oleh Nora Danish. Wajahnya bukan sahaja cantik, malah aksinya turut menarik minat saya.

"Secara jujurnya saya memang berminat untuk menjalinkan kolaborasi dengan Nora dan melakukan gaya Gwiyomi bersama-sama. Sekiranya ada peluang tersebut saya berbesar hati untuk menerimanya," jelas penyanyi yang berada di Malaysia dari 3 hingga 6 November lalu.

Menurut Hari, biarpun jadual kehadirannya ke negara ini sekadar menghadiri acara sesi bertemu peminat, dia memang menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah persembahan pada masa akan datang.


HARI berpendapat Nora Danish cukup comel dan ingin berduet dengan aktres tersebut untuk melakukan aksi Gwiyomi.


Pulau Langkawi

Menceritakan lebih lanjut mengenai kehadirannya ke negara ini, Hari menyatakan dia sempat mendapatkan pelbagai maklumat mengenai Malaysia dengan melayari internet.

Hari berkata, sudah menjadi kelaziman buat dirinya apabila ingin berkunjung ke sesebuah negara, dia gemar mencari maklumat berkenaan negara yang ingin dilawatinya itu.

"Apabila melayari internet saya mendapati begitu banyak tempat-tempat menarik yang terdapat di Malaysia. Namun begitu, saya cukup tertarik dengan Pulau Langkawi kerana keindahan yang terdapat di pulau berkenaan.

"Cuma saya tidak sempat untuk berkunjung ke sana sekarang kerana masa agak terhad dengan jadual yang begitu padat. Sekiranya berpeluang datang ke Malaysia lagi pastinya saya tidak akan melepaskan peluang untuk pergi ke Pulau Langkawi," jelasnya.

Berkenaan dengan jadual siri jelajahnya pula, penyanyi berkenaan memberitahu bahawa Malaysia bukan satu-satunya destinasi memandangkan dia akan pergi ke beberapa buah negara lain iaitu Indonesia dan China.

"Selepas berada di Malaysia selama empat hari saya akan berkunjung ke Jakarta, Indonesia pada 7 November untuk bertemu peminat di sana. Saya anggap kehadiran kali pertama ini sebagai langkah untuk menjalinkan kemesraan dengan peminat secara lebih dekat," ujarnya.

Single baharu

Selain menyatakan keinginannya yang berkolaborasi dengan Nora Danish, Hari turut berkongsi cerita mengenai hasratnya untuk bekerjasama dengan G-Dragon yang juga merupakan penyanyi K-Pop terkenal dan salah seorang anggota kumpulan Big Bang.

Bukan sekadar mahu menumpang populariti penyanyi yang menjadi kegilaan ramai wanita itu, sebaliknya dia sendiri sudah lama meminati dan kerap mengikuti perkembangan kumpulan berkenaan.

"Sebenarnya saya merupakan salah seorang peminat fanatik kumpulan K-Pop terkenal iaitu Big Bang, malah saya ada mempunyai perancangan untuk berkolaborasi dengan salah seorang anggota kumpulan tersebut iaitu G-Dragon.

"Dalam salah satu konsert solo yang dijayakan oleh G-Dragon sebelum ini, dia telah membuat gaya Gwiyomi di hadapan para peminatnya. Ternyata ia membuatkan saya cukup terharu dan itu yang menyebabkan timbulnya hasrat untuk berkolaborasi dengannya," luah Hari.

Mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya sekarang ini, Hari menceritakan bahawa dia kini sudah mencul dengan single terbaharu berjudul Hangul Song yang telah dilancarkan baru-baru ini.

Meskipun dirinya kini memang cukup sinonim dengan Gwiyomi, penyanyi itu tetap meletakkan harapan yang tinggi agar Hangul Song turut mendapat tempat di hati para peminatnya.