Man Khan popular kerana lagu daerah


LAGU Dok Mano nyanyian Man Khan (kiri) bersama pasangan duetnya,
Rosalinda mendapat sambutan di luar dugaan daripada peminat.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Itu perumpamaan tepat untuk penulis lirik dan penyanyi lagu Dok Mano, Wan Nukman Wan Hamdan, 32, atau lebih popular dengan panggilan Man Khan.

Lagu duetnya bersama Rosalinda itu yang diparodikan daripada lagu Right Now nyanyian Akon telah mengangkat namanya sebagai penyanyi lagu daerah terkenal di negeri Kelantan.

Percubaan Man Khan tersebut membuahkan hasil apabila lagu yang dihasilkannya mendapat maklum balas positif daripada peminat.

Lebih mengejutkan, lagu berdurasi empat minit 12 saat itu diminati generasi muda hingga ada yang menjadikannya sebagai nada dering telefon bimbit.

Tidak cukup dengan itu, lagu berkenaan yang dimuat naik ke laman YouTube telah ditonton sebanyak lebih 1.1 juta kali dan sering menjadi pilihan untuk diputarkan di corong radio tempatan.

Lagu tersebut juga telah membawa nama Man Khan ke pentas antarabangsa apabila dia diundang membuat persembahan di Singapura.

Menurut Man Khan, dia tidak menyangka percubaannya memparodikan lagu tersebut mendapat sambutan luar biasa.

“Sambutan daripada peminat cukup luar biasa apabila lagu Dok Mano yang dimuatkan dalam album Tok Seh Karpet 2 terjual sebanyak 50,000 unit sejak berada di pasaran tahun lalu.

“Ini merupakan satu sejarah baharu dalam seni nyanyian lagu-lagu daerah yang semakin diterima peminat di luar Kelantan,” katanya.

Tambahnya, kejayaan tersebut memberikan motivasi kepadanya untuk terus memperjuangkan lagu-lagu daerah.

Jelasnya, kebanyakan mereka yang terlibat dalam industri tersebut terdiri daripada penggiat dikir barat dan ia sinonim dengan seni budaya rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Katanya, dia berhasrat menjadikan industri lagu daerah setanding dengan industri hiburan popular.

Ujarnya, jika Indonesia mampu mengangkat lagu-lagu daerah mereka berdiri sama tinggi dengan lagu-lagu pop, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku kepada karya dikir barat.

“Kita lihat bagaimana Wali Band boleh melebarkan sayapnya dan menjadi cukup popular di negara ini. Hal ini kerana mereka diberikan ruang secukupnya untuk berkarya.

“Begitu juga dengan lagu-lagu daerah, saya yakin kita boleh bersaing dan popular seperti mereka.

“Pada saya, kekurangan promosi menjadi punca lagu-lagu daerah kurang dikenali. Jadi, sokongan kepada penggiat seperti kami perlu diberikan perhatian, barulah seni ini dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Anak kelahiran Tanah Merah itu memberitahu, sudah tiba masanya lagu-lagu daerah diberikan nafas baharu seiring dengan cita rasa pendengar masa kini.

“Sebelum ini, percubaan saya mengubah irama Hindustan kepada R&B mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar.

“Perubahan itu bertujuan untuk membawa angin baharu kepada dunia nyanyian lagu-lagu daerah agar ia mampu menarik sokongan golongan muda.

“Kita berhasrat agar anak-anak muda menjadikan lagu daerah sebagai pilihan mereka, sekali gus menyokong industri ini yang sudah bertapak lama di negeri Kelantan,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai lagu Dok Mano, Man Khan menjelaskan, idea untuk menghasilkan lirik tersebut dibuat selepas dia membuat kajian di peringkat akar umbi dengan menemui golongan muda untuk mendapatkan maklum balas mengenai muzik yang mereka minati.

“Saya dan beberapa rakan telah turun ke bawah untuk mendapatkan maklum balas daripada anak muda mengenai muzik yang mereka minat. Selain itu, kami juga telah membuat carian di internet untuk mengkaji lagu yang popular dan diminati golongan muda.

“Selepas membuat perbincangan dengan beberapa rakan seperti Aris Kapilla, Adik Wani, Rosalinda dan Fendi Kenali serta Jemi Intan Berlian, maka timbullah idea untuk memparodikan lagu nyanyian Akon berjudul Right Now.

“Saya hanya mengambil masa selama 10 minit untuk menghasilkan bait-bait lirik yang seakan-akan hampir dengan maksud asal lagu berkenaan,” ujarnya.

Man Khan berkata, melalui karya yang dihasilkannya itu, dia turut menyelitkan kritikan sosial sebagai unsur nasihat kepada pendengar.

“Bagi saya, unsur nasihat ini penting kerana kesemua lagu daerah sebelum ini penuh dengan elemen tersebut.

“Ia juga sebahagian daripada cita rasa peminat,” ujarnya.

Kepada peminat yang ingin berinteraksi dengan Man Khan, boleh ke laman sosial milik penyanyi itu di www.facebook.com/mankhan.mkay.