Kerajaan tidak teragak-agak tutup taska dera kanak-kanak

09/11/2013 8:41pm

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan teragak-agak menutup taska yang didapati mendera kanak-kanak jagaan mereka, kata Menteri Pembangunan

Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan amat penting bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa, terutama mereka yang bekerja sepenuh masa.

"Bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin, ibu bapa disaran

menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2013 di KL Sentral hari ini.

Rohani diminta mengulas tindakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

menutup taska di Taman Melati berikutan perbuatan kejam pengasuh pusat berkenaan mendera beberapa kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata buat masa ini, kementerian menjalankan proses pemutihan yang dikenali sebagai 'pendayaupayaan taska' bagi mengesan dan memastikan taska yang belum mendaftar, didaftar di bawah JKM. - Bernama