Super muzikal untuk SuperMokh


TEATER SuperMokh Sebuah Muzikal dipentaskan di Istana Budaya sehingga 18 November nanti.


MENONTON sebuah teater muzikal bukanlah suatu kesukaran, tetapi menonton muzikal yang menghidupkan semula watak-watak legenda sudah pasti kerja sukar. Untuk penonton dalam kategori pemikir kritis, hal itu tidak boleh dielakkan.

Untuk menonton SuperMokh Sebuah Muzikal, rasanya hal sedemikian tidak perlu dibawa masuk ke dalam fikiran. Jujurnya, penulis arif tentang sejarah, pejuang negara atau tokoh seni negara namun tidak terhadap pemain bola sepak negara bernama Mokhtar Dahari. Itu semua mungkin kerana penulis kurang minat terhadap sukan bola sepak khususnya.

Mokhtar Dahari atau mesra dipanggil SuperMokh merupakan satu nama yang tidak berhenti didendang waima dari zaman mencipta kegemilangan sehinggalah berdekad sesudah dia pergi menyahut panggilan Ilahi pada tahun 1991. Gelaran SuperMokh pantas membuahkan gambaran betapa handal, pantas dan lincahnya figura berjersi nombor 10 itu di atas padang. Bayangan itu sebaik-baiknya cuba dimunculkan ke pentas SuperMokh Sebuah Muzikal yang kini dihidupkan di Istana Budaya sehingga 10 November nanti.

Jersi nombor 10 yang disarungkan ke tubuh sang rockers Awie ternyata pilihan terbaik untuk sebuah muzikal yang bukan hanya memerlukan skil lakon tetapi juga nyanyian.


(DARI kiri) Oliver, Rashidi Ishak, Awie, Clarence Kuna dan Chi Ho.


Awie, sang vokalis juga pelakon berpengaruh besar itu sudah sekian kali menjadi ikon negara di pentas teater. Teater ini mendapat sentuhan kartunis terkenal, Datuk Lat.

Seperti yang dijangka, sosok lelaki bermisai tebal serta bertubuh atlet itu dijayakan sempurna oleh Awie. Awie mungkin hilang lebih 10 kilogram semata-mata untuk kelihatan sebagai pemain bola sepak.

Sebagai sebuah muzikal, cuma aksi menggelecek bola yang tidak menuntut pemegang watak karakter Mokhtar iaitu Awie, Reduan Abdullah (Rashidi Ishak), Soh Chin Aun (Chi Ho), Santokh Singh (Clarence Kuna) dan R. Arumugan (Oliver Johanan) menjadi sehandal pemilik nama itu di atas padang dan realiti sebenar.

SuperMokh turut dijayakan oleh Maya Karin selaku Tengku Zarina, watak isteri Mokhtar Dahari yang cukup setia dan memahami dunia bola sepak suaminya. Kemunculan Douglas Lim dan Dina Nadzir bersama karakter yang sengaja diwujudkan dalam muzikal itu juga sangat membantu untuk memecahkan momen komedi. Tanpa Douglas, muzikal itu mungkin lesu tanpa sorak ketawa.

Hans Isaac selaku penerbit dan pengarah bersama dengan Harith Iskander bijak mengatasi tuntutan teknikal itu menerusi teknik pencahayaan serta koreografi yang mantap.

Muzikal bajet mega seperti yang dipersembahkan oleh Tall Order Production pada malam pembukaan 6 November lalu, layak mendapat pujian.


AWIE dan Maya (kanan) beraksi sebagai suami isteri.


Selain membina padang dan Stadium Merdeka di atas pentas Panggung Sari, babak perlawanan bola sepak yang ditranformasikan menjadi sebuah tarian di mana ruang pentas digelapkan dan penarinya dipakaikan kostum cahaya LED menjadi segmen yang sangat impresif. Visual Stadium Merdeka dengan suasana tepuk dan sorak boleh dibina, tetapi mana mungkin suasana sebenar perlawanan bola sepak itu dapat diterjemahkan penuh dramatik.

"Kesilapan teknikal boleh berlaku bila-bila masa, penggunaan LED itu juga sangat berisiko tetapi kalau saya takut nak mencuba, kita tak tahu pula hasilnya macam mana. Inilah kelainan muzikal ini berbanding produksi teater kami sebelum ini," ujar Hans kepada media selepas persembahan malam pertama pada 6 November lalu.

Kewangan dengan bajet lebih RM3 juta, sokongan dan penajaan yang memberangsangkan daripada sektor korporat, barisan tenaga kreatif yang lengkap, tempoh latihan, barisan pelakon handalan, promosi dan pemasaran, tanpa ragu, SuperMokh Sebuah Muzikal barangkali sebuah super muzikal untuk tahun ini di Istana Budaya.