Insiden culik bayi 19 jam berakhir


SARAH mendukung Freddie selepas bayi itu ditemui semula di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Episod sedih seorang guru wanita warga Britain kehilangan anak tunggalnya berusia 20 bulan yang dilarikan dua individu di Bangsar di sini kelmarin berakhir apabila bayi lelaki itu ditemui semalam.

Freddie Joseph, anak hasil perkongsian Sarah Joseph, 38, dan bekas suaminya, seorang warga Filipina dijumpai di Taman Tasik Titiwangsa di sini pada pukul 1.20 petang, kira-kira 19 jam selepas dia diculik.

Jarak antara lokasi mangsa dilarikan dan tasik itu kira-kira 11 kilometer.

Ketika ditemui, seorang pesara kerajaan, Hamid Md. Isa melihat bayi tersebut yang memakai baju hijau dan seluar putih berjalan seorang diri dalam keadaan lemah dan kelaparan.

Lelaki berusia 57 tahun itu kemudian menghubungi polis sebelum mangsa dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh mangsa dan dia dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Ekoran itu, polis mengesan satu pasangan berusia lingkungan 30-an yang terlibat dalam kes penculikan tersebut.

“Berdasarkan soal siasat, ibu bayi itu mendakwa dia tidak mengenali lelaki yang melarikan anaknya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.