Detik bersejarah

PARA pemain skuad hoki wanita negara meraikan kejayaan mereka meraih pingat gangsa selepas menewaskan China 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia di Kakamigahara, Jepun semalam.


SKUAD hoki wanita negara mencipta sejarah apabila memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2013 di Kakamigahara, Jepun semalam.

Tambah manis, kejayaan menjulang pingat gangsa buat kali pertama itu dilakukan The Blue Tigress dengan menumbangkan pasukan gergasi, China dengan jaringan 3-1.

Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa itu, pasukan kendalian jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim telah melakukan kebangkitan selepas terlebih dulu ketinggalan 0-1 kepada China menerusi jaringan Zhao Xia pada minit ke-25.

Penyerang negara, Rabiatul Adawiyah mempamer ketangkasannya apabila berjaya menghasilkan gol penyamaan buat skuad negara tiga minit selepas itu menerusi jaringan gol padang, menjadikan perlawanan babak pertama perlawanan berkesudahan 1-1.

Bersambung selepas rehat, Rabiatul sekali lagi muncul wira apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk Malaysia mendahului 2-1.

Tiga minit sebelum perlawanan tamat, Noor Hasliza Ali menceriakan kem negara apabila dia juga berjaya melakukan pukulan padu menerusi pukulan sudut penalti untuk membolehkan Malaysia menang 3-1 sekali gus merangkul pingat gangsa.

Nasihin berkata, kemenangan tersebut merupakan sejarah buat pasukan hoki wanita negara yang menduduki ranking ke-22 dunia berbanding China yang menduduki rangking ketujuh.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini dan selepas menyaksikan kemenangan itu saya bagaikan berada di alam lain dan hilang kata-kata.

“Mereka (pemain) mempamerkan semangat juang sangat tinggi terutama dalam aksi tempat ketiga/keempat itu dan ribuan tahniah kepada para pemain atas komitmen sepanjang kejohanan ini,” kata Nasihin kepada Kosmo! Ahad semalam.

Pencapaian terbaik skuad hoki wanita negara sebelum ini adalah memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1982 di New Delhi, India.

Selepas itu, pada Piala Asia 1985 di Korea Selatan, pasukan negara juga memenangi pingat yang sama dan itu adalah kejayaan terakhir pada peringkat tertinggi.

Malaysia pertama kali bertanding dalam Trofi Juara-Juara Asia ini berikutan Korea Selatan menarik diri pada saat-saat akhir.