Koleksi karakter kartun di Animation World


KARAKTER Doraemon ini turut mempunyai peminat dalam kalangan dewasa.


ADAKAH anda membesar dengan watak-watak kartun seperti Hello Kitty, Mickey Mouse dan Doraemon? Jika ya, anda pasti dapat mengimbau pelbagai nostalgia zaman kanak-kanak ketika berkunjung ke Animation World di pusat beli-belah Midvalley Megamall, Kuala Lumpur.

Pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan menanti pelanggan terutama si manja di Animation World yang kini menjadi rumah kepada karakter kartun tersebut termasuk Angry Bird.

Syarikat barangan bayi terkemuka, Anakku Sdn. Bhd. mencetuskan idea tersebut selepas berkunjung ke Disneyland setelah mendapati tidak ramai pelanggan mampu melancong ke luar negara bagi mendapatkan barangan kegemaran mereka.

Justeru, pembukaan Animation World memudahkan para pelanggan mendapatkan semua barangan termasuk karakter kegemaran di bawah satu bumbung.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jasmine Chew berkata, konsep Animation World adalah untuk memberikan pelanggan pelbagai pilihan barangan terbaharu dan suasana membeli-belah yang lebih menyeronokkan.

Semua itu diterjemahkan melalui pameran produk yang menarik dan menawan merangkumi pelbagai jenama animasi.

"Kami inginkan pelanggan berasa bahawa mereka sedang memasuki dunia yang berbeza apabila berkunjung ke sini.


JASMINE (tiga dari kiri) bergambar bersama kakitangan Animation World pada majlis pelancaran kedai tersebut di Midvalley Megamall, Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Setiap karakter kartun tersebut mempunyai identiti dan personaliti tersendiri," katanya pada majlis perasmian Animation World baru-baru ini.

Tambah Jasmine, pihaknya berharap pengunjung dapat menilai sendiri kualiti barangan yang dijual kerana pihaknya menawarkan hanya yang terbaik kepada pelanggan.

Harga barangan yang ditawarkan pula berpatutan iaitu serendah RM4.90 hingga RM500 bergantung pada jenis barangan. Produk-produk tersebut menyasarkan bayi hingga kanak-kanak berumur lapan tahun.

Menariknya, Animation World bakal menawarkan pelbagai tawaran hebat pada setiap bulan bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan koleksi terkini selain menambah bilangan karakter kartun dari semasa ke semasa.