Sasaran 40 emas

KHAIRY (kiri) memberi taklimat kepada pengurus-pengurus pasukan ke Sukan SEA Myanmar semasa lawatannya ke Wisma OCM di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur semalam.


“JANGAN samakan sasaran pingat emas Sukan SEA lalu dengan di Myanmar. Selepas kehilangan beberapa acara yang menjadi prospek emas, sasaran 40 pingat emas pada kali ini saya anggap sangat realistik.”

Demikian reaksi Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditanya mengenai sasaran pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar yang hanya berbaki 25 hari untuk membuka tirai.

“Sasaran realistik ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan Persatuan Sukan Kebangsaan.

“Secara jelas, kita tidak dapat mempertahankan 28 pingat emas yang diperoleh di Sukan SEA Palembang, Indonesia, dua tahun lalu kerana acara tersebut tidak dipertandingkan kali ini,” jelas Khairy ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pengurus-pengurus pasukan di Wisma OCM di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur semalam.

Antara acara yang tidak dipertandingkan ialah akuatik (renang perairan terbuka dan renang berirama) yang sebelum ini menyumbang lapan emas, tujuh dari acara berbasikal trek, boling (lima) ski air (empat) dan dua daripada acara lawan pedang dan menembak.

“Saya akui jumlah sasaran adalah lebih rendah tetapi ia sangat realistik iaitu 40 emas daripada 213 pingat yang ditawarkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, acara terjun bakal menjadi lubuk emas kontinjen negara apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengesahkan penyertaannya.

Dengan kombinasi Pandelela dan penerjun elit yang lain, skuad terjun diharap mampu membolot kesemua lapan emas yang dipertandingkan.

Di samping itu, kontinjen negara juga meletakkan sasaran enam emas dari karate, olahraga (lima) renang, pencak silat, wusyu dan memanah (tiga).

Acara hoki dan pelayaran turut diletakkan sasaran dengan dua emas manakala lumba basikal lebuh raya, bina badan, menembak dan muay thai dijangka membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir emas.

Untuk rekod, dua tahun lalu, Malaysia menyasarkan 45 emas tetapi berjaya membawa pulang 59 emas manakala di Laos (2009), kontinjen negara membawa pulang 40 emas.

“Untuk itu, saya amat berharap agar peminat sukan negara tidak meletakkan sasaran yang tinggi dan memahami kenapa sasaran kali ini agak rendah.

“Keadaan kali ini amat berbeza terutama jumlah acara yang boleh kita sertai. Bagaimanapun, dengan sasaran yang telah ditetapkan, saya percaya ia sangat realistik dan mampu dicapai,” ulas Khairy.