Nina berhenti belajar

NINA ISKANDAR berazam untuk menjadi artis pertama Brunei berhasil mencipta kejayaan di Malaysia.


DEMI cintanya yang cukup mendalam terhadap bidang seni, pelakon baharu Nina Iskandar sanggup mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

Bukannya menganggap pelajaran itu sesuatu yang tidak penting, tetapi pelakon berasal dari Bandar Seri Begawan, Brunei ini menyatakan, peluang berlakon yang datang mencurah-curah menyebabkan dia perlu membuat pilihan yang tepat.

“Apabila mengikat kontrak dengan Metrowealth awal tahun ini, pada masa yang sama saya sedang menuntut di kolej International Graduate Study (IGS), Brunei dalam bidang Pengurusan Perniagaan.

“Setelah difikirkan semasak-masaknya, akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti belajar memandangkan saya sukar untuk fokus dua kerja dalam satu masa,” ujar pelakon berusia 22 tahun itu.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang lakonan, Nina berkata, dia sudah mula berlakon drama bersiri di negara kelahirannya sejak tahun 2011.

Kemudian dia pernah membintangi drama iaitu Erna Suraya yang membabitkan kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB).

Bermula saat itu, timbul minat dalam dirinya untuk mencuba nasib dalam industri hiburan di Malaysia. Ternyata rezeki berpihak kepada dirinya apabila mencuba nasib menyertai uji bakat bersama Metrowealth setelah diminta menghantar profil peribadi oleh David Teo.

“Melihat kepada perkembangan bidang lakonan di Malaysia, sudah ramai pelakon luar seperti Singapura yang mencuba nasib dan ternyata kebanyakannya berjaya mencipta nama di negara ini.

“Namun begitu, setakat ini masih belum ada lagi pelakon Brunei yang betul-betul menyerlah di sini. Jadi, saya berazam untuk menjadi artis pertama Brunei yang berhasil mencipta kejayaan di Malaysia,” ujarnya.

PELAKON genit ini bakal muncul bersama empat buah filem lakonannya pada tahun depan.


Menurut Nina, dia juga sangat beruntung kerana pembabitannya dalam bidang seni ini mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga, malah mereka turut merestui apabila dia mengambil keputusan untuk berkelana ke luar negara bagi mengembangkan lagi bakat lakonannya.

“Dalam ahli keluarga, bukan saya seorang sahaja yang menceburi bidang seni kerana kakak saya juga pernah aktif berlakon dahulu. Cuma setelah mendapat pekerjaan tetap, dia tidak lagi berlakon,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Berkenaan dengan perkembangan kerjayanya sekarang, Nina memberitahu, setakat ini dia sudah berlakon dalam empat buat filem terbitan Metro- wealth seperti Muka Surat Cinta, Lu Gua Bro, Sniper dan Pengantin Malam. Semua filem berkenaan akan ditayangkan pada tahun 2014.

Lupa daratan

Apabila mengambil keputusan untuk berhijrah ke negara ini, ternyata ia tidak memberi jalan yang mudah buat diri Nina memandangkan dia perlu berhadapan dengan beberapa cabaran.

Antaranya, persepsi segelintir peminatnya di Brunei yang beranggapan dia seolah-olah seperti sudah lupa daratan kerana tidak fasih lagi berbahasa Melayu Brunei.

“Tidak dinafikan ada sedikit perbezaan antara bahasa Melayu di Brunei dan Malaysia, terutamanya dari segi slanga. Jadi, saya pernah dikutuk peminat di negara asal gara-gara tidak bertutur dalam bahasa Melayu Brunei ketika ditemu bual oleh wartawan.

“Kemudian saya terpaksa menjelaskan kepada peminat yang saya kini mencari rezeki di negara ini dan terpaksa berusaha dengan keras supaya dapat bertutur dalam bahasa Melayu tempatan dengan lebih baik,” jelasnya.

Selain masalah bahasa, pelakon berkenaan menyatakan, dia turut berhadapan dengan masalah berat badan ketika kemunculan awalnya di Malaysia dahulu. Dengan berat yang pernah mencecah 59 kilogram, dia berhasil menurunkannya sehinga menjadi 50 kilogram sekarang.