Bahaya skrin sesentuh


MELAKUKAN aktiviti bersama anak-anak penting bagi proses tumbesaran mereka. - Gambar hiasan


IBU BAPA yang membiarkan anak-anak kecil mereka bermain dengan gajet-gajet terkini seperti iPad sebenarnya boleh mengundang bahaya kepada tangan dan jari kanak-kanak tersebut.

Penyelidik dari Pusat Pembelajaran dan Terapi Maryland di Amerika Syarikat, Lindsay Marzoli memberitahu, menggunakan skrin sesentuh secara berlebihan boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kesan kesihatan untuk jangka masa panjang.

Ini kerana apabila mereka menggunakan skrin sesentuh, mereka tidak membina otot yang diperlukan untuk menulis.

"Jika mereka sentiasa bermain dengan iPad dan tidak melakukan aktiviti menulis di atas kertas dan menggunakan pensel, ia boleh menyebabkan otot-otot tangan mereka menjadi lemah.

"Apa yang kita lihat ketika ini, ramai kanak-kanak yang mengalami masalah di beberapa bahagian badan membabitkan pertumbuhan otot-otot mereka," ujarnya kepada stesen televisyen CBS.

Mudarat

Seorang Pakar Kanak-Kanak Pusat Perubatan Greater Baltimore, Dr. Timothy Doran pula berpendapat, masalah teknologi itu sendiri menyebabkan penyelidik tidak dapat menjangkakan kesan kepada kesihatan kanak-kanak untuk jangka panjang.

"Penggunaan komputer tablet tanpa had, tiga hingga empat jam sehari secara berlebihan tanpa pengawasan ibu bapa boleh memberikan kesan kepada pembangunan modal insan kanak-kanak tersebut," jelasnya.

Akademi Pediatrik Amerika Syarikat mengeluarkan garis panduan baharu dengan menyatakan kanak-kanak tidak dibenarkan menggunakan skrin sesentuh lebih daripada dua jam sehari.

Kanak-kanak di bawah umur dua tahun pula tidak dibenarkan sama sekali menggunakan skrin sesentuh.


KAJIAN terbaharu mendapati skrin sesentuh menjejaskan kesihatan kanak-kanak. - Gambar hiasan


Garis panduan itu juga mencadangkan televisyen, komputer tablet dan komputer tidak seharusnya diletakkan di bilik kanak-kanak.

Penyelidikan ini bukan yang pertama kali mencadangkan penggunaan skrin sesentuh secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak.

Penyelidik dari Lembaga Kesihatan Universiti Morgannwg, Abertawe Bro, pula menyatakan, generasi muda berdepan masalah kesihatan pada bahagian tengkuk dan belakang badan apabila mereka menggunakan komputer, permainan video dan telefon pintar.

Kajian menunjukkan hampir tiga perempat daripada kanak-kanak sekolah rendah dan dua pertiga daripada pelajar sekolah menengah dilaporkan mengalami masalah pada bahagian tengkuk dan belakang badan dalam tempoh setahun yang lalu.

Pakar fisioterapi, Lorna Taylor berkata, gaya hidup moden dan peningkatan teknologi mempunyai kesan serta menjejaskan kesihatan otot kanak-kanak.

"Jika tidak ditangani sekarang, ia akan memberikan kesan jangka panjang kepada kanak-kanak apabila mereka dewasa.

"Amat penting untuk kita memupuk tabiat yang baik supaya kanak-kanak boleh menjalani kehidupan dengan selesa, dapat menumpukan perhatian, mencapai potensi penuh dan bekerja serta bersukan tanpa perlu melakukan perkara yang boleh membahayakan kesihatan mereka," beritahu beliau.

Aktiviti keluarga

Sementara itu, Pakar Bedah Tulang Belakang Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Mohammad Nawar Ariffin memberitahu dari segi teori, masih terlalu awal untuk membuktikan kesan skrin sesentuh kepada kanak-kanak.

"Sebahagian otak diperuntukkan kepada fungsi tangan dan menggunakan skrin sesentuh menyebabkan tidak banyak pergerakan yang berlaku kerana mereka menggunakan satu jari sahaja. Disebabkan itu, penyelidik berpendapat otak kanak-kanak tidak dirangsang.

"Perlu diingat, zaman sudah berubah dan mereka bukannya tidak melakukan aktiviti lain yang boleh merangsang pergerakan tangan mereka," jelasnya sambil memberitahu, tumbesaran kanak-kanak bukan terletak pada keadaan fizikal sahaja tetapi juga membabitkan faktor mental, emosi dan persekitaran.

Tambahnya, ibu bapa juga sebenarnya lebih gemar memberikan iPad kepada anak mereka untuk mendiamkan mereka.

"Ibu bapa seharusnya memperuntukkan masa kepada anak-anak dengan melakukan aktiviti seperti bermain bersama dan bukannya menyogok mereka dengan gajet terkini," ujarnya.