Pelantikan Annuar sah - MSN




MAJLIS Sukan Negara (MSN) selaku sekretariat Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara, memaklumkan bahawa pelantikan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar) selaku ahli jawatankuasa program berkenaan, adalah dianggap sah.

Ia tidak bercanggah dari segi perundangan ekoran penggantungan beliau yang didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM sebelum ini.

MSN telah merujuk status Annuar yang digantung oleh FAM sehingga 4 Oktober 2014 kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang berpandangan secara dasarnya bahawa beliau boleh dilantik sebagai ahli jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

MSN dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, berdasarkan penggantungan terhadap Annuar, ia adalah di bawah peruntukan perlembagaan atau statut FAM sendiri dan bukannya Akta Pembangunan Sukan (APS) 1997.

Peruntukan Seksyen 25 APS 1997 tidak terpakai terhadap Annuar kerana peruntukan ini adalah berkenaan akibat tindakan penggantungan atau pembatalan yang dikenakan oleh Pesuruhjaya Sukan ke atas badan sukan atau mana-mana orang dan bukannya oleh FAM.

Status Annuar juga dianggap sah kerana kuasa untuk melantik mana-mana individu sebagai ahli dalam apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu adalah kuasa yang diperuntukkan oleh APS 1997 kepada Menteri Belia dan Sukan.

Sebagai makluman, Annuar mempunyai pengalaman yang luas dan idea-idea bernas dalam arena bola sepak tanah air dan pelantikannya adalah berdasarkan kepada merit berkenaan untuk membantu jawatankuasa merancang, merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak negara.

Jawatankuasa juga berperanan sebagai platform setiap ahli memberikan cadangan dan pendapat bagi menambah baik perancangan pembangunan bola sepak negara.

Ia juga dianggotai wakil daripada FAM dan mana-mana ahli yang dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan, bukannya bertujuan untuk melaga atau mengeruhkan hubungan baik sedia terjalin antara MSN khususnya dan Kementerian Belia dan Sukan amnya dengan FAM atau mana-mana pihak kerana jawatankuasa berkenaan adalah semata-mata untuk menjayakan aspek pembangunan bola sepak negara khususnya membabitkan pemain berumur dari tujuh hingga 17 tahun.