Mawar Putih Tanda Perpisahan Drama Terbaik ASK 2013


ROSYAM NOR bersama trofi yang dimenanginya pada Anugerah Skrin 2013 di Shah Alam malam tadi.


SHAH ALAM - Telemovie Mawar Putih Tanda Perpisahan terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai Drama Terbaik dalam acara Anugerah Skrin (ASK) 2013 yang berlangsung di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Drama lakonan Datuk Rosyam Nor dan Nad Zainal itu menewaskan beberapa buah drama lain yang turut memberi saingan hebat seperti Aku Bukan Malaikat, Di Bawah Langit Mu, Fatihah Untuk Abah dan Neraka Abah.

Selain merangkul anugerah Drama Terbaik, telemovie berkenaan turut merangkul dua lagi anugerah iaitu Videografi Terbaik (Mohd. Faizal Mohd. Ali) dan Lakon TV Terbaik (Mazlan Manan).

Sebuah lagi telemovie yang turut memberi saingan hebat, Aku Bukan Malaikat pula berjaya merangkul dua anugerah untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Datin Paduka Umie Aida dan Pengarah Terbaik (Erma Fatima).

Sementara itu, dalam kategori filem pula KIL terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. menang empat daripada tujuh anugerah utama termasuk bagi kategori Filem Terbaik.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.