Bank Muamalat bantu tujuh keluarga miskin


SARIMAH (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang ibu tunggal, Sarina Ramza di Kampung Gerigis, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.


BANTU. Bank Muamalat Malaysia Berhad menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya menyalurkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan dapur kepada mereka yang memerlukan dalam daerah Kota Setar di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Pengurus Wilayah Utara Bank Muamalat, Sarimah Bashah berkata, program yang diadakan sempena Karnival Oh Yeah! bank itu melibatkan tujuh keluarga miskin terpilih, warga emas yang sakit dan ibu tunggal.

Katanya, ziarah dari rumah ke rumah di tiga kampung iaitu Kampung Alor Senibong, Kampung Alor Melintang dan Kampung Gerigis turut disertai Bank Muamalat Big Bikers Club.

"Ini adalah tanggungjawab sosial korporat kami untuk membantu golongan kurang bernasib baik. Ramai orang di daerah ini tidak bernasib baik dan kita tampil untuk bantu meringankan beban mereka," katanya.