Ibu pejabat polis jadi sasaran


SALAH seorang penunjuk perasaan antikerajaan terkena semburan air dekat ibu pejabat polis di Bangkok.


BANGKOK - Pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thuegsuban yang dikenakan waran tangkap berkata, beliau akan berhenti berpolitik tetapi akan terus memimpin tunjuk perasaan, lapor agensi berita Bernama semalam.

Beliau mengumumkan petang tadi bahawa beliau tidak akan kembali menyertai Parti Demokrat yang menjadi pembangkang di Dewan Perwakilan tetapi menegaskan akan menduduki ibu pejabat polis metropolitan hari ini.

Suthep berkata apa yang beliau lakukan tidak mempunyai kaitan dengan parti itu.

"Banyak mana pun mereka melepaskan gas pemedih mata terhadap kami, kami akan mengepung ibu pejabat polis metropolitan pada hari ini," katanya kepada penyokongnya di kompleks kerajaan yang kini menjadi kawasan tunjuk perasaan mereka.

Beliau berkata, mereka akan menuju sasaran pada pukul 7 pagi dan dijangka dapat menguasainya pada pukul 3 petang.

Ibu pejabat polis Bangkok itu menjadi sasaran kerana pihak polis disyaki tidak bersungguh-sungguh mengawal pertempuran antara penunjuk perasaan antikerajaan dan prokerajaan Baju Merah di Universiti Ramkamhaeng pada Sabtu lalu yang menyebabkan kematian dan kecederaan, katanya.

Sekurang-kurangnya tiga orang mati dan 50 lagi cedera dalam tunjuk perasaan yang berlaku pada minggu lalu selepas kumpulan antikerajaan dan prokerajaan bertempur.

Para penunjuk perasaan turut menduduki Pejabat Bajet dan sebuah kompleks yang menempatkan beberapa buah kementerian.

Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan itu turut menguasai sebuah stesen televisyen milik kerajaan.

Stesen televisyen itu kemudian menyiarkan ucapan Suthep yang meminta semua kakitangan kerajaan berhenti bekerja sehingga krisis politik di negara ini berakhir.

Suthep yang merupakan bekas timbalan perdana menteri menyatakan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bahawa kerajaan yang ada ketika ini perlu menyerahkan kuasanya kepada rakyat dalam tempoh dua hari.

Suthep berikrar akan mengulingkan Yingluck yang dianggap boneka kepada bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.

Thaksin merupakan abang Yingluck.

Yingluck merupakan pemimpin parti Pheu Thai.

Ketika memberi reaksi balas terhadap permintaan Suthep itu, Yingluck berkata, tuntutannya itu tidak mengikut perlembagaan.

"Saya tidak bermaksud kami menolak permintaannya tetapi kami tidak tahu bagaimana untuk menjadikan tuntutan Suthep menjadi realiti," kata Yingluck.

Yingluck berkata, beliau masih bersedia untuk menerima pelbagai cadangan untuk menyelesaikan krisis politik di Thailand.

Kelmarin, beratus-ratus penunjuk perasaan yang mahu menggulingkan kerajaan Thailand menyerbu sebuah kelab polis tempat Perdana Menteri Yingluck berada di sini sekali gus memaksa beliau meninggalkan tempat tersebut dan menuju ke satu lokasi rahsia.

Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 sebelum didapati bersalah atas tuduhan rasuah dua tahun kemudian.

Beliau hidup di luar negara sejak tahun 2008 untuk mengelak daripada hukuman penjara tetapi masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam kerajaan pimpinan Yingluck.

Tunjuk perasaan itu bermula pada 24 November lalu dengan para penunjuk perasaan berhimpun di beberapa buah bangunan kerajaan. - Agensi