Annuar ada alasan

PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pandangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) adalah jelas mengenai pelantikannya dalam Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara (JPBSN).

Annuar berkata, bukan beliau yang tidak boleh berada dalam jawatankuasa berkenaan, sebaliknya wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Tindakan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) melantik semua pihak pada awalnya membuktikan beliau tidak berpihak kepada sesiapapun dan mahu semua pihak mengambil bahagian tanpa mencampuri urusan dalaman persatuan.

"Tepatlah pandangan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang juga merasakan isu ini adalah hal dalaman yang boleh diselesaikan menurut peraturan sedia ada, tanpa perlu mereka campuri sebab tiada sebarang campur tangan dalam urusan persatuan itu sendiri," kata Annuar dalam laman sosial Facebook miliknya semalam.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya menjalankan tugas bersama Kementerian Pendidikan dalam memajukan pembangunan bola sepak di Malaysia yang rata-rata melibatkan murid berumur 7 hingga 17 tahun.

Menurutnya, Khairy tidak dapat melakukan pembangunan itu ketika memegang jawang sebagai Timbalan Presiden FAM dan kini, beliau komited untuk melakukannya apabila menerajui KBS.

"Kebetulan saya juga begitu... jadi sekarang, jawatankuasa teruskan peranan mereka sementara saya terus mengambil sikap terbuka dan akan cuba untuk bertemu mata dengan pihak FAM dan AFC sendiri.

"Kesemua mereka telah saya hubungi dan mohon untuk mengadakan perbincangan demi kebaikan bola sepak Malaysia," katanya.

Kelmarin, Annuar berkata, beliau akan menunggu keputusan Khairy berhubung status keanggotaannya dalam jawatankuasa tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa KBS.

Sebelum itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, wakil FAM tidak dibenarkan melibatkan diri dalam jawatankuasa tersebut selagi Annuar menganggotainya.

Annuar sebelum ini menerima surat pelantikan untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan daripada KBS.

Namun, FAM mendakwa pelantikan tersebut tidak sah memandangkan beliau masih menjalani tempoh penggantungan bermula April tahun lalu dan akan berakhir pada 4 Oktober 2014.

Annuar digantung selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM boleh memberi kenyataan media berhubung skuad bola sepak kebangsaan.