Banjir: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat

04/12/2013 9:06pm

KOTA BAHRU - Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di jajahan Kuala Krai meningkat kepada 538 orang berbanding 436 orang petang ini.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, setakat 8 malam ini, kesemua mangsa daripada 124 keluarga itu adalah penduduk di Mengkebang dan Olak Jeram dan mereke dipindahkan ke enam buah pusat pemindahan sementara.

Air Sungai Kelantan di Tangga Krai pula pada paras 25.42 meter melepasi tahap bahaya 25 meter manakala di Jambatan Guillemard ialah 16.73 meter (bahaya 16 meter).

Sungai Lebir di Tualang turut melebihi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 35.94 meter (bahaya 35 meter) manakala Sungai Golok di Rantau Panjang juga melepasi bahaya dengan bacaan 9.01 meter (bahaya 9 meter).

Paras air di sungai lain dilaporkan meningkat berikutan hujan yang sesekali lebat di kebanyakan kawasan pedalaman negeri ini.

Tiada jalan utama yang dilaporkan terputus hubungan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehingga kini. - Bernama