Kali Pertama belum puas - Asmidar

ASMIDAR kelihatan lebih matang dan bersemangat dengan imej rambut panjang.


MELIHAT kepada bakat serta usianya yang sudah mencecah 27 tahun, penyanyi yang lahir daripada Vokal Bukan Sekadar Rupa, Asmidar sepatutnya sudah berada pada satu tahap yang lebih tinggi. Namun percaturan jatuh-bangun dalam industri muzik tidak hanya bersandarkan bakat.

Asmidar reda. Katanya, dia belum cukup puas terhadap impak yang terhasil menerusi album sulungnya Kali Pertama. Bukan tidak cukup bagus, namun album yang layak tercalon dalam kategori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik minggu depan itu tidak sampai ke tahap mengharumkan namanya di persada muzik.

"Album itu tercalon untuk kategori Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik tetapi saya sendiri tidak tercalon dalam mana-mana kategori. Itu bermakna album tersebut memang bagus namun saya sendiri masih belum bagus. Kalau boleh saya nak lagi dan lagi.

"Mungkin sebab sepanjang mempromosikan album tersebut sejak awal tahun, saya tidak ada sebuah lagu balada yang betul-betul hit. Setidak-tidaknya sama tahap dengan single pertama saya sebelum ada album, Biar Sampai Ke Bintang," luah Asmidar menyedari kesederhanaan yang dimiliki antara faktor yang melambatkan penerimaan ramai terhadap dirinya.

"Itu juga antara faktor yang menarik minat saya untuk merakamkan sebuah single terbaharu yang berjudul Mohon untuk lagu tema filem Penanggal. Kiranya itu kolaborasi saya dengan orang filem untuk sama-sama mempromosikan filem Penanggal yang kini masih ditayangkan," tambah Asmidar.

Single berentak balada Mohon untuk lagu tema filem Penanggal bukanlah lagu tema pertama yang memilih Asmidar sebagai pelantun vokal. Pada Januari depan, dia bakal muncul dengan sebuah lagi lagu tema filem berjudul Sembunyi Rahsia daripada filem Laga.

"Saya harap kolaborasi begini akan tambah mengukuhkan nama saya. Menariknya single Mohon ditulis oleh pencipta yang pernah menghasilkan lagu Ombak Rindu, liriknya pula Ellie Suriaty dan Zaidi Abd. Rahman. Untuk muzik video pula, saya begitu teruja apabila kali pertama dapat bekerja dengan Ghaz Abu Bakar.

"Kalau boleh saya mahu bawa lagu itu sejauh mungkin. Saya sedar lagu Pulanglah dan Ku Seru nyanyian Misha Omar antara lagu tema filem yang cukup berhantu, untuk sampai ke tahap itu memang sukar tapi tidak salah untuk saya menaruh harapan yang tinggi," ujar Asmidar yang sebelum ini pernah terlibat dalam pembikinan lagu tema filem Mencari Cinta berjudul Kerinduan.

Dek mendahulukan single Mohon, Asmidar harus menangguhkan pelancaran lagu single berjudul Cinta Ada.

"Mulanya saya ingat Cinta Ada akan mengembalikan semula impak lagu balada memandangkan orang masih ingat nyanyian saya dalam lagu Biar Sampai Ke Bulan. Tapi Mohon harus didahulukan untuk seiring dengan tayangan Penanggal. Lagu itu pun sangat bermakna buat saya," ujar Asmidar yang merasakan penyatuan single sebagai lagu tema boleh memberikan impak apatah jika sesebuah filem atau drama itu mendapat tempat di hati khalayak.

"Macam lagu tema dalam drama-drama bersiri di kaca televisyen. Populariti drama secara tidak langsung akan mempopularkan sesebuah lagu. Saya juga harap lagu Cinta Ada juga akan menarik minat penerbit untuk dijadikan lagu tema."

Mendengar butiran yang terluah dari bibir Asmidar, ternyata wanita berkulit sawo matang itu tidak pernah letih untuk mencuba. Penguasaan pengaruhnya masih mendatar walaupun dari segi kualiti, kemantapan vokalnya sudah diperakui.

"Saya akan terus berusaha dan mencari jalan untuk berada pada tahap yang memuaskan. Kalau tidak berjaya dengan cara terlibat sebagai penyanyi lagu tema, mungkin untuk album akan datang saya akan menghasilkan kolaborasi dengan penyanyi lain. Lagu duet nampaknya kembali menjadi trend muzik yang digemari dan saya sangat berminat ke arah itu," tutup Asmidar yang kini memilih gaya berambut panjang sebagai imej baharunya.