Fattah jawab komen negatif



SEKALI imbas air muka pelakon drama rantaian Playboy Itu Suami Aku, Fattah Amin saling tak tumpah seperti pelakon muda yang sedang meniti hari menuju gerbang perkahwinan bersama Rozita Che Wan iaitu Zain Saidin.

Sambil berseloroh ketika sesi fotografi berlangsung di kondominium PV 13 Setapak, Kuala Lumpur minggu lalu, Fattah atau empunya nama sebenar Abdul Fattah Mohd. Amin, 23, mengakui akan hakikat itu.

"Sudah ramai yang terkeliru antara saya dan Zain malah ada yang bertanya adakah saya mempunyai pertalian darah dengannya? Jawab saya mudah, saya tiada darah kacukan, kedua-dua ibu bapa saya Melayu tulen," jelasnya bersulam tawa.

Fotografi bersama pemenang pertandingan Hero Remaja 2012 itu berlangsung dalam suasana beriring hujan lebat di luar premis tempat lokasi penggambaran sebenar drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3, Playboy Itu Suami Aku.

Penatkah soal penulis? Kerana hampir setiap syot Fattah gagal memberikan aura yang dikehendaki jurufoto Nooradzrene Mohd. Noor.

"Kalau ikutkan memang penat sebab hari-hari ada penggambaran, tambahan watak utama lagi. Sepanjang tempoh dua bulan saya tidak mendapat rehat secukupnya.

"Tapi selagi ada masa dan diberikan peluang, waktu ini saya anggap rezeki," jawabnya.

FATTAH pernah disalah anggap sebagai Zain Saidin ekoran muka hampir seiras.


Kayu

Ujar Fattah, tidak mudah berdepan kritikan dan komen negatif sepanjang menjalani penggambaran drama pada ketika drama itu sendiri sedang ditayangkan di kaca televisyen.

Tapi, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu mengambil cas-cas negatif dan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya sebagai satu cabaran serta motivasi untuk memperbaiki bahagian yang terkurang.

"Pada awal episod, saya akui saya tidak mampu menjayakan karakter lelaki playboy, tapi saya mengambil kegagalan itu sebagai satu cabaran kerana itu lahir daripada diri saya sendiri.

"Saya tidak membiarkan perkara itu tapi cuba memperbaiki berdasarkan kritikan penonton dan maklum balas orang ramai.

"Walaupun lakonan saya diistilahkan kayu atau tidak bagus oleh sesetengah pihak, saya masih ada pengarah untuk memandu dan mencorakkan karakter Adrian.

"Saya hanya boleh komen lakonan saya saja, kalau ada kekurangan saya mengaku memang kelemahan itu datang daripada diri saya sendiri," ujarnya yang membuat rujukan karakter daripada bacaan novel asal itu sendiri.

Mengulas faktor kegagalan menjayakan watak yang kemungkinan besar puncanya akibat kurangnya kajian terhadap watak, jelas Fattah, kurangnya pengalaman dalam bidang lakonan adalah alasan utamanya.

"Saya ada membuat homework untuk watak itu dan tahu jalan ceritanya menghala ke arah mana tapi apabila masuk ke set penggambaran semuanya berubah.

"Perlu jaga karakter, pergerakan, dialog dan suara serentak dalam satu masa. Jadi saya menjadi gugup! Mungkin kerana saya masih baharu dalam bidang ini dan kurang pengalaman untuk mengatasi perasaan itu.

"Bagaimanapun, saya enggan menjadikan perkara itu alasan. Saya anggap itu sebagai satu cabaran untuk buat lebih baik pada masa akan datang," tambahnya.

Pertama kali berlakon bersama Nur Risteena yang mendukung peranan Afina dalam drama itu, kata Fattah perbincangan bersama pengarah sebelum memulakan setiap babak penting untuk membina hubungan kimia bersama.


LANGKAH Fattah bermula selepas dinobatkan sebagai pemenang Hero Remaja 2012.


Playboy

Ditanya adakah Fattah seorang jejaka playboy, jawabnya karakter itu cuma dimainkan dalam filem. Hakikatnya, Fattah seorang romantik dan akan setia bersama seorang gadis pada satu-satu masa.

"Definisi playboy adalah seorang lelaki yang ada stail dan gaya, kaki perempuan dan sering melontarkan ayat-ayat manis untuk memikat hati wanita.

"Saya sendiri bukan playboy! Saya tiada komitmen dengan sesiapa pun buat masa sekarang dan tidak akan menjalinkan hubungan dengan ramai perempuan serentak.

"Kalau betul-betul serius saya akan terus melamar, memang sekarang ada berkawan dengan seseorang tapi belum sampai ke tahap untuk berkahwin lagi. Saya masih muda dan perlu membina kerjaya sebelum serius dalam perhubungan," katanya.