Penyiar ketiga ditembak mati di Filipina dalam tempoh dua minggu

11/12/2013 11:02pm

MANILA - Seorang lagi penyiar radio ditembak mati di Filipina hari ini, menjadikan ia kes pembunuhan ketiga membabitkan penyiar dan juga wartawan negara itu selepas kes terakhir berlaku dua minggu lepas.

Rogelio Butalib, 44, diserang seorang lelaki bermotosikal di bandar Tagum, selatan Pulau Mindanao, kata jurucakap polis wilayah, Ketua Inspektor Jed Clamor.

"Kami sedang meneliti kemungkinan bahawa dia dibunuh kerana profesionnya. Butalib merupakan pengulas stesen tempatan, Radyo Natin, dan mungkin mempunyai musuh kerana program yang dikendalinya memaparkan isu-isu tempatan, termasuk rasuah," kata Clamor.

Walau bagaimanapun, Clamor berkata, pembunuhan itu mungkin juga bermotifkan politik kerana mangsa sebelum ini telah dipilih bertanding jawatan daerah Oktober lalu.

Sebelum ini, pengacara rancangan bual bicara untuk radio DXFM, Michael Diaz Milo telah dibunuh di bandar Butuan pada Jumaat lalu, manakala seorang lagi penyiar, Joas Dignos, dibunuh di bandar Valencia pada 29 November.

Semalam, seorang lelaki bersenjata tidak dikenali telah bertindak menembak dan mencederakan seorang wartawan radio keempat, Jonavin Villalbal, di tengah bandar Iloilo. Keempat-empat suspek serangan tersebut masih dalam buruan polis.

"Ia amat menyedihkan kerana salah seorang daripada pengamal media kita telah dibunuh," kata Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina, Rowena Paraan. - AFP