Neelofa antara Caprice dan Hans Isaac

NEELOFA dan Hans dikatakan pergi bersama-sama menonton persembahan konsert Alicia Keys di Singapura baru-baru ini.


BARU-BARU ini, menerusi rancangan hiburan Melodi, rapper Caprice mendedahkan bahawa dia dan Neelofa pernah keluar bersama dan mempunyai hubungan yang istimewa sewaktu sama-sama terlibat dalam pembikinan klip videonya, Dem Girl kira-kira lima tahun lalu.

Terkejut dengan kenyataan tersebut, Neelofa yang ditemui pada majlis Anugerah Cosmopolitan Fun Fearless Fabulous 2013 minggu lalu mengakui tidak berkesempatan untuk menonton rancangan tersebut.

Ikuti temu bual Kosmo! dengan figura yang selesa disapa sebagai Lofa ini yang memberikan komen tentang Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, selain tentang gosip yang mengatakan dia bercuti di Singapura bersama Hans Isaac baru-baru ini.

Kosmo!: Baru-baru ini Caprice ada menyatakan bahawa dia dan Lofa pernah keluar bersama. Adakah kenyataannya itu benar?

NEELOFA: (Dengan nada terkejut) Dia berkata begitu? Sejujurnya, sebelum saya menyertai pertandingan Dewi Remaja dan mula dikenali oleh orang ramai, saya ada terlibat menjayakan sebuah klip video bersamanya. Sejak itu, hubungan kami menjadi rapat.

Adakah perkara itu membuktikan anda pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Caprice?

Tidak sama sekali. Saya hanya menganggapnya sebagai teman rapat. Tidak lebih daripada itu. Saya bekerja dengannya dan bersikap profesional.

Caprice turut memberitahu yang anda pasti akan mengangkat telefon jika dia menghubungi anda. Adakah dakwaan itu benar? Jika benar, mengapa dia menghubungi anda?

Tidak dinafikan, dia ada menghubungi saya tetapi hanya sekadar meminta pertolongan untuk diperkenalkan dengan individu yang terlibat dalam industri hiburan. Saya pasti akan menjawab panggilan telefon jika Caprice menghubungi saya kerana saya menganggap dia sebagai kawan. Sebagai seorang teman rapat, saya harus memberikannya sokongan dan pertolongan jika dia memerlukan bantuan.

Baru-baru ini saya ada terbaca mengenai gosip yang mengatakan anda pergi bercuti dengan Hans Isaac di Singapura dan anda juga dilihat bersama-sama menonton konsert Alicia Keys di sana baru-baru ini. Komen?



Maaf, saya tidak mahu komen. Kalau media lain tanya juga saya tidak akan jawab.

Kenapa anda sukar memberi kenyataan mengenai hal peribadi walaupun perkara itu sudah tersebar dan menjadi buah mulut orang?

Saya tidak suka sebab ia adalah hal peribadi saya. Saya tidak kisah apa yang orang cakap.

Anda akan mengikuti pengajian jangka pendek selama sebulan di Los Angeles. Boleh ceritakan sedikit mengenai kursus yang diambil dan kos yang dikeluarkan?

Saya bakal mengikuti pengajian jangka pendek di New York Film Academy di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bermula 6 Januari sehingga 1 Februari 2014. Jurusan yang dipilih ialah Lakonan Dalam Filem dan kampusnya terletak di dalam Universal Studio, AS. Saya berhabis lebih kurang RM20,000 untuk tempoh pengajian tersebut.

Adakah anda berhasrat mengikuti pengajian pendek itu setelah mendapat kritikan negatif mengenai teknik lakonan anda yang dianggap masih lemah?

Tidak sama sekali. Bagi saya, peluang menuntut ilmu ketika masih muda perlu digunakan sebaik mungkin. Saya belum berkahwin dan masih bujang, justeru tiada sebab saya mensia-siakan masa yang ada ketika ini untuk menimba ilmu.

Bagaimana pula dengan lakonan dan bidang pengacaraan?

Penggambaran Nona musim ini sudah habis. Saya akan mula penggambaran untuk musim terbaharu pada tahun depan. Program MeleTOP juga akan masuk musim kedua. Setakat ini, saya tidak terikat dengan mana-mana drama dan filem kerana mahu memberi fokus terhadap kursus sebulan yang bakal saya jalani itu.

Sebenarnya, jika diikutkan saya akan menjalani penggambaran filem muzikal berjudul Sinaran arahan Osman Ali pada bulan Disember ini tetapi ia ditangguhkan pada bulan Mac 2014.

Jadi, apakah perkembangan terkini anda?

Saya bakal muncul dengan filem adaptasi novel karya Ahadiat Akashah berjudul Pilot Cafe. Filem arahan Osman Ali itu menampilkan pelakon seperti Fahrin Ahmad dan Izzara Aisyah. Dalam filem tersebut, saya memegang watak Sharmila. Pilot Cafe bakal ditayangkan pada awal tahun depan.

Tahniah atas pelantikan anda sebagai duta LINE. Boleh kongsikan sedikit mengenai rangkaian aplikasi komunikasi tersebut?

Sebenarnya, selain saya, pelakon Fizo Omar, Nazim Othman dan Zizan Razak juga adalah duta LINE dan sudah mempunyai akaun rasmi LINE.

Buat masa ini, LINE telah membina sebuah kedai sementara (pop-up store) jenama itu di hadapan Tokyo Street, pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur selama sebulan itu (2 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014), sebagai inisiatif LINE untuk menjual barangan mereka selain melakukan beberapa tawaran promosi termasuk percuma patung kepala LINE bagi 300 pelanggan yang membeli lebih daripada RM200 produk LINE.

Kenapa anda menerima tawaran LINE, adakah disebabkan bayaran lumayan yang diterima?

Saya terima kerana ia boleh membawa nama saya ke tahap global. - FATEN SAPHILLA & IZWANMOHD. ISA