Keramahan komuniti Islam Cina di Shadian


DEWAN solat Grand Mosque of Shadian yang luas menjamin keselesaan muslimin.


PENGALAMAN mengembara ke China merupakan kenangan yang menakjubkan. Ia lebih bermakna apabila saya berpeluang berkunjung ke sebuah tempat yang jarang dilawati iaitu Kunming di wilayah Yunnan, China.

Di Kunming, saya mengunjungi Shadian yang terkenal dengan gelaran Asia's Most Hidden Gem.

Kunjungan saya ke Shadian merupakan jemputan daripada seorang kenalan yang dikenali sebagai Brother Ma atau nama Islamnya Rusydi. Dia berasal dari Kunming.

TIANG-TIANG yang menghiasi laluan ke kawasan mengambil wuduk Grand Mosque of Shadian.


Setibanya di lapangan terbang Kunming, Rusydi menyambut penulis bersama dua rakan wanita. Kedua-dua rakannya itu yang juga muslim memakai tudung.

Gaya mereka bertudung tidak jauh beza dengan muslimah di Malaysia. Mereka memberi penulis sejambak bunga yang tercatat nota Forget-Me-Not sebagai simbol persahabatan.

Dari lapangan terbang, ke hotel di bandar Kunming pembangunan giat dijalankan. Keadaan di Kunming agak sesak seperti bandar-bandar besar yang lain di China.

Namun, ia mungkin tidak seteruk Beijing atau Shanghai. Keadaan persekitaran di Kunming sangat berdebu, kering dan cuacanya sejuk.

SENI bina daun pintu masjid bercirikan rekaan tradisional China.


Motosikal elektrik

Kebanyakan penduduknya menggunakan motosikal elektrik sebagai pengangkutan harian mereka.

Setelah beberapa hari di Kunming, kami ke Shadian. Dengan menaiki van dari Kunming, perjalanan ke Shadian sepatutnya mengambil masa sekitar empat jam.

Namun, kekerapan berhenti di beberapa pekan kecil menyebabkan perjalanan kami bertambah lebih dua jam daripada jangkaan asal.


PEMANDANGAN tenang di pekarangan Grand Mosque of Shadian.


Shadian merupakan kawasan subur dan kaya dengan aktiviti pertanian yang menjadi punca pendapatan penduduk setempat. Pemandangan beberapa buah masjid di sepanjang perjalanan ke Shadian turut menarik perhatian penulis. Menurut Rusydi, ramai komuniti Islam menetap di Shadian.

Ketika berhenti di sebuah pekan kecil di Shadian, penulis mendapati pelbagai bahan logam seperti pedang dan pisau yang dijual secara terbuka.

Ukiran dan reka bentuk hulu pedangnya unik dan mempunyai pengaruh budaya Cina kuno. Hajat di hati untuk membeli pedang itu sebagai hiasan dinding di rumah terpaksa dilupakan memikirkan pemeriksaan keselamatan yang ketat di lapangan terbang.


ANTARA muslimah yang hadir sewaktu sesi diskusi.


Kami tiba di Shadian hampir lewat petang. Kami terus dibawa ke Masjid Shadian atau dikenali sebagai Grand Mosque of Shadian bagi menunaikan solat Asar. Penulis amat kagum melihat sebuah masjid besar yang sangat indah seni binanya berdiri teguh di sebuah pekan terpencil di China.

Penduduk setempat agak peramah dan mesra ketika kami ingin menunaikan solat jemaah. Ada juga yang menegur dan memberi salam, namun penulis hanya mampu membalas salam dan senyuman kerana kekangan bahasa menjadi masalah untuk berkomunikasi.

Masjid Shadian merupakan masjid yang terbesar di wilayah tersebut. Menurut Rusydi, ia dibina atas ehsan wang penduduk setempat dan ahli-ahli perniagaan Muslim di sana. Apa yang mengagumkan, segala perbelanjaan untuk membina masjid tersebut langsung tidak menggunakan peruntukan pihak pemerintah.

Menurut Rusydi, Shadian merupakan satu-satunya penempatan golongan Islam yang kaya.

Wilayah eksklusif

Kebanyakan mereka terlibat dengan aktiviti perlombongan bahan-bahan mineral yang menjadi sumber pendapatan. Tambah Rusydi, hasil perlombongan bahan-bahan mineral ini secara tidak langsung menjana sektor perdagangan dan pendapatan negara China.


PENULIS (empat dari kiri) bersama Rusydi (tiga dari kiri) bergambar bersama penduduk Islam di Shadian.


Berdasarkan pengamatan penulis, seni bina masjid ini direka berasaskan Masjid Nabawi di Madinah.

Masjid tersebut siap dibina pada tahun 2009 dan kawasan itu didiami kira-kira 20,000 penduduk Islam. Dianggarkan terdapat 11 masjid lain di sekitar Shadian.

Shadian hakikatnya merupakan sebuah wilayah eksklusif masyarakat muslim. Namun, apa yang menyentuh hati ialah mereka begitu terbuka menerima kunjungan pelancong berlainan agama.

Keesokan harinya, penulis dan Rusydi bertemu dengan masyarakat Islam di Shadian. Setibanya kami di sebuah madrasah berdekatan, dewan telah pun dipenuhi dengan penduduk Islam tempatan.

Kebanyakan mereka fasih bertutur dalam dialek tempatan, manakala sesetengahnya fasih berbahasa Arab.

Mujurlah Rusydi ada pembantu untuk menterjemah perbualan mereka. Kami bertukar-tukar pendapat dan pengalaman.

Sepanjang berada di sana, penulis dilayan mesra. Ada juga dalam kalangan mereka yang menjadikan penulis sebagai anak angkat. Tidak kurang yang menawarkan rumah mereka untuk penulis bermalam.

Namun atas urusan kerja dan keluarga di Malaysia, semua tawaran itu terpaksa dilepaskan dengan hati yang berat.