Lefthanded ke Melaka


(DARI kiri), Man Kidal, Mus May, Nash dan Silah.


SELEPAS Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, kini giliran Hard Rock Melaka pula menjadi lokasi konsert kumpulan rock Lefthanded yang dijadualkan berlangsung pada 22 Disember depan.

“Setelah lebih 15 tahun tidak mengadakan persembahan di Melaka, konsert ini adalah peluang terbaik untuk mengumpulkan peminat Lefthanded, selain golongan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Singapura.

“Kami akan ke Hard Rock Melaka pada 21 Disember ini untuk aktiviti santai bersama peminat dan berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Melaka,” ujar Nash atau nama sebenarnya, Nashrudin Elias pada sidang akhbar Konsert Lefthanded di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini

Tambahnya: “Kami berharap konsert kali ini akan mengubat kerinduan peminat yang telah sekian lama menantikan kemunculan album terbaharu kami. Ini kerana konsert ini akan dirakamkan dalam format cakera padat digital (DVD).”

Konsert itu bakal disertai Mus May, bekas peserta Kilauan Emas, Silah dan anak lelaki Man Kidal, Ally yang bakal berkolaborasi bersama selain anggota tetap Lefthanded iaitu Nash, Man Kidal, Yan dan Man Dayak.

Lagu-lagu hit kumpulan Lefthanded seperti Seruan, Keadilan, Semangat Lamina, Debunga Wangi, Tiada Lagi Kidungmu dan Ku Di Halaman Rindu, selain dua buah lagu inggeris yang masih dirahsiakan judulnya bakal dipersembahkan sepanjang konsert lebih dua jam di bandar raya bersejarah itu.

Lebih menarik, kata Nash, kemuncak konsert itu akan diadakan sesi cabutan bertuah selain jualan lelongan gitar milik Man Kidal.

“Hasil lelongan gitar itu akan disalurkan untuk membantu mangsa banjir di selatan tanah air bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Konsert itu juga merupakan pembuka jalan untuk kumpulan Lefthanded beraksi bersama pemuzik orkestra dalam rangka projek konsert mega kumpulan itu menjelang pertengahan tahun depan.

“Ini adalah percubaan untuk Lefthanded membuat persembahan bersama orkestra sama ada Orkestra Tradisional Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra tahun depan.

Selepas Wings, kini Lefthanded pula menunggu masa yang sesuai untuk beraksi di Istana Budaya.

“Kami cuma menunggu masa dan kos untuk mencukupi untuk membuat persembahan di Istana Budaya, sekurang-kurangnya RM3 juta.

“Lagipun, Lefthanded belum mempunyai pengurusan yang betul seperti mana kumpulan Wings dan Search. Kami menguruskan sendiri kumpulan kami,” jelasnya.

Tiket Konsert Lefthanded dan Mus May boleh didapati di kaunter Hard Rock Cafe Melaka dengan harga RM70 dan RM80 atau hubungi 06-292 5188 untuk pertanyaan lanjut.