Pesawat tentera Syria serang Aleppo

BEBERAPA penduduk mencari mangsa-mangsa yang terselamat selepas serangan udara tentera Syria di Takeek Al-Bab, Aleppo kelmarin.


BEIRUT - Beberapa pesawat tentera Syria menggugurkan beberapa bahan letupan di empat kawasan penduduk yang dikuasai golongan penentang Presiden Bashar Al-Assad di bandar Aleppo semalam.

Ia merupakan serangan udara keempat berturut-turut di bandar tersebut yang terletak di utara Syria.

Menurut beberapa aktivis yang menentang Bashar, serangan tersebut telah menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.

Para aktivis tersebut menyatakan, serangan itu bertujuan untuk menghancurkan golongan penentang di Aleppo sebelum persidangan antarabangsa mengenai keamanan di Syria berlangsung lewat bulan depan di Switzerland.

Aleppo merupakan bandar terbesar di Syria dan pernah menjadi pusat komersial sebelum peperangan saudara meletus pada Mac 2011.

Peperangan itu melibatkan kumpulan anti-Bashar dengan tentera kerajaan Syria sehingga mengakibatkan lebih 100,000 orang terbunuh.

Menurut seorang aktivis anti-Bashar, Abu al-Hassan Marea, salah satu serangan terbaharu itu berlaku dekat sebuah sekolah.

Dia berkata, sebuah asrama pelajar turut menjadi sasaran serangan itu.

Kerajaan Syria kerap menggunakan ratusan kilogram bahan letupan dalam serangan udara bagi memberi kesan kemusnahan besar. - AP