Dira reda alami keguguran

DIRA memberitahu dia tidak sedar dirinya hamil sehingga disahkan oleh doktor selepas terdapat ketulan darah keluar sewaktu dia sibuk dengan penggambaran.


SUDAH mendirikan rumah tangga dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusuf sejak dua tahun lalu, pastinya mendapatkan cahaya mata merupakan perkara yang didambakan oleh pelakon Dira Abu Zahar.

Biarpun sudah mempunyai seorang anak perempuan, Tengku Anggun Deandra yang kini berusia enam tahun hasil perkahwinan terdahulu dengan penyanyi Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid, Dira dan suaminya sekarang berusaha untuk memperoleh cahaya mata.

Namun begitu, hasrat pasangan berkenaan sedikit tergendala apabila Dira yang ditemui ketika majlis pelancaran KL Bike Week 2013 baru-baru ini mendedahkan yang dia telah mengalami keguguran pada bulan lalu.

Menurut Dira, dia sendiri tidak menyangka yang ketika itu dia hamil enam minggu dan perkara tersebut diketahuinya apabila menjalani pemeriksaan di klinik.

Kosmo!: Bolehkah ceritakan lebih lanjut tentang keguguran yang anda alami?

DIRA: Pada bulan lalu saya sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri di Kemaman, Terengganu. Ketika itu, saya sedar sudah lewat datang bulan beberapa hari, namun saya tidak mengendahkannya dan beranggapan tiada sebarang masalah yang berlaku. Kemudian ketika saya sibuk bekerja, terdapat ketulan darah yang keluar dan saya terus dinasihatkan menjalani pemeriksaan di klinik. Selepas itu, penjelasan yang diberikan doktor agak mengejutkan saya.

Apakah yang diberitahu oleh doktor terhadap hasil pemeriksaan yang dilakukan?

Menerusi pemeriksaan doktor menjelaskan yang saya sebenarnya telah hamil kira-kira enam minggu, tetapi kandungan saya itu tidak dapat diselamatkan kerana saya telah mengalami keguguran.

Bagaimanakah perasaan anda ketika mendapat tahu perkara tersebut?

Sudah tentu saya berasa sangat terkejut dan tidak sangka berbadan dua. Pada masa yang sama agak sedih dan kecewa kerana hasrat untuk mendapat cahaya mata kedua tidak kesampaian. Apa pun, saya tetap reda dengan dugaan ini.

Apabila mendapat tahu yang anda keguguran, apakah reaksi suami anda?

Suami ada berpesan supaya saya banyak bersabar dan anggap tiada rezeki kami buat masa ini. Tidak dinafikan sepanjang dua tahun berkahwin, kami memang sudah berusaha untuk mendapatkan anak.

Apakah yang menyebabkan anda mengalami keguguran?

Saya sendiri kurang pasti tentang keguguran ini, tetapi rasanya ia mungkin berpunca daripada diri saya yang terlalu aktif bekerja. Selepas apa yang berlaku, saya akan cuba elakkan diri untuk aktif dan akan segera membuat pemeriksaan sekiranya lambat datang bulan.

Bagaimanakah pula dengan projek terbaharu anda sekarang ini?

Pada 20 dan 21 Disember ini saya terbabit dengan acara KL Bike Week 2013 yang dianjurkan Red Garage Enterprise dengan kerjasama Tourism Malaysia dan ia merupakan acara yang dianjurkan buat kali ke-6 di kawasan letak kereta, Jalan P. Ramlee. Terdapat beberapa aktiviti yang akan diadakan seperti pameran motor berkuasa tinggi, konvoi bersama Awie yang juga ikon KL Bike Week 2013 serta gerai jualan yang menjual pelbagai produk, terdapat satu aktiviti yang dikenali sebagai Back To School Charity Fun Race.

Apakah matlamat utama aktiviti berkenaan?

Sebenarnya kami berhasrat untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak mangsa banjir yang akan bersekolah tidak lama lagi. Setakat ini, kami sudah menerima sebanyak RM10,000 hasil sumbangan pelbagai pihak. Untuk mengumpul lebih banyak dana, satu acara lelongan akan diadakan dan barang-barang yang dilelong itu merupakan hasil sumbangan beberapa artis seperti Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan Nabil. Kami sasar agar dapat mengumpul sebanyak RM20,000 dan kesemua wang berkenaan digunakan untuk membeli sebanyak 1,000 set kelengkapan persekolahan untuk pelajar yang menjadi mangsa banjir.