Hasrat cipta hatrik lebur

JARINGAN penyamaan Thamil Arasu gagal membawa Harimau Muda melangkah ke final acara bola sepak Sukan SEA 2013.


NAY PYI TAW, Myanmar - Impian skuad Harimau Muda untuk mencipta hatrik pada Sukan SEA 2013 tidak kesampaian.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tewas 3-4 kepada Indonesia pada aksi separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Kekalahan itu mengimbas kembali final Sukan SEA 2011 di Jakarta apabila Indonesia tewas dengan jaringan yang sama pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno.

Selain kegagalan A. Thamil Arasu dan Shahrul Mohd. Saad menyempurnakan dua sepakan penalti yang pertama, pengalaman kapten dan penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga Hermansyah dilihat sebagai faktor yang menyebabkan Harimau Muda tewas.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain di sebalik kekalahan tersebut.

"Jangan salahkan Thamil dan Shahrul. Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan ini dan bukannya disebabkan oleh pemain.

"Kami tidak tewas dalam permainan sebenar tetap kami kalah menerusi penentuan sepakan penalti. Bagi saya, pemain-pemain telah menunjukkan karakter yang baik sepanjang 120 minit permainan tersebut.

"Sudah tentu kami menampilkan aksi yang agak hambar pada separuh masa pertama tetapi kami berjaya bangkit pada babak kedua. D. Saarvindran sepatutnya mengambil sepakan penalti yang pertama tetapi dia telah dikeluarkan.

"Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, ketiadaan tujuh pemain utama dan tempoh rehat yang singkat selepas kami terpaksa bermain selang sehari sedikit sebanyak memberi kesan kepada para pemain," kata Kim Swee kepada pemberita pada sidang akhbar semalam.

Pada aksi sepauh akhir semalam, Thamil berpeluang untuk meletakkan Harimau Muda di depan pada minit ke-10 tetapi percubaannya daripada luar kotak penalti terus ke dakapan Kurnia Meiga.

Pada minit ke-24, rembatan Yandi Sofyan Munawar dari luar kotak penalti terkena palang gol Malaysia.

Bagaimanapun, gawang Harimau Muda akhirnya bocor pada minit ke-30 hasil jaringan pemain tengah Indonesia, Bayu Gatra Sanggiawan.

Jaringan itu diperoleh menerusi gerakan cantik satu dua antara Bayu Gatra dan Yandi Sofyan Munawar, sekali gus menewaskan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan pada minit ke-30.

Peluang terbaik Harimau Muda untuk mengikat kedudukan 1-1 hadir pada masa kecederaan babak pertama tetapi Mohd. Irfan Fazail gagal menyambar bola yang jatuh di hadapan pintu gol Indonesia hasil sepakan percuma Mohd. Fadhli Mohd. Shas.

Harimau Muda menampilkan aksi yang lebih baik pada babak kedua terutamanya selepas Kim Swee mengeluarkan Nazirul Naim Che Nashim pada minit ke-59 bagi memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Md. Rozaimi Ab. Rahim.

Pada minit ke-65, Mohd. Nasir Bashrudin pula dikeluarkan bagi digantikan dengan Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan kemasukan arkitek muda negara itu berjaya memberikan impak yang besar.

Kim Swee membuat pertukaran ketiga apabila menggantikan Saarvindran dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-84.

Gol yang dicari-cari Harimau Muda hadir pada minit ke-85 menerusi jaringan Thamil dan kedudukan 1-1 itu berlarutan sehingga tamat masa tambahan, sekali gus memaksa kemenangan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada aksi penentuan sepakan penalti, Kurnia Meiga berjaya menyelamatkan sepakan daripada Thamil dan Shahrul tetapi gagal menyelamatkan sepakan Nazmi Faiz, Fadhli dan Rozaimi.

Indonesia pula bermula agak baik apabila sepakan Alfin Ismail Tuasalamony, Diego Robbie Michiels, Yandi Sofyan Munawar dan Yohanes Ferinando Pahabol gagal dibasa Izham Tarmizi, manakala percubaan Manahati Lestusen Lestusen melepasi palang gol.

Kini, Harimau Muda akan bermain pada penentuan pingat gangsa menentang Singapura esok.

Singapura tewas 0-1 kepada Thailand dalam satu lagi aksi separuh akhir stadium yang sama, semalam.

Dalam pada itu, skuad bola sepak wanita negara turut tewas 0-4 kepada Vietnam pada separuh akhir dan akan bertemu tuan rumah, Myanmar pada penentuan pingat gangsa.